Tujuh warga Kemboja nekad terjun laut elak ditahan

Sebahagian kerang yang dirampas dalam operasi berkenaan.
Sebahagian kerang yang dirampas dalam operasi berkenaan.
A
A
A

SABAK BERNAM - Tujuh warga Kemboja yang sedang leka menyiapkan tongkah kayu sebagai peralatan mengutip benih kerang di sebuah jeti nelayan di Bagan Nakhoda Omar di sini nekad terjun ke laut selepas premis terbabit diserbu pihak berkuasa pada Khamis.

Serbuan kira-kira jam 6 petang itu dijalankan secara bersepadu oleh penguat kuasa Jabatan Perikanan Selangor serta Pasukan Polis Marin Gerak Wilayah 1 Pelabuhan Klang dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Selangor (Maritim).

Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, suspek terbabit dipercayai terkejut dan terus bertindak melarikan diri dengan terjun ke laut.

"Semua individu terbabit bertindak demikian kerana bimbang ditangkap pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Noraisyah berkata, selain tujuh warga Kemboja itu, empat lagi nelayan dipercayai warga asing yang berada di dalam bot kelas B dalam perjalanan pulang ke jeti turut melakukan tindakan sama dengan terjun ke laut di sekitar lokasi serbuan dijalankan.

"Semua individu bertindak meninggalkan bot mereka dan berenang melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran," katanya.

Tambahnya, semua warga asing itu dipercayai mula bekerja sebagai pemungut anak kerang sejak 2015 lalu dengan tawaran gaji dan komisen tinggi menjadi punca mereka tertarik melakukan pekerjaan haram berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Tongkah kayu yang digunakan bagi mengutip benih kerang. Sebahagian warga asing bertindak terjun ke laut selepas sebuah Jeti Nelayan di Bagan Nakhoda Omar di sini diserbu pihak berkuasa pada Khamis.
Tongkah kayu yang digunakan bagi mengutip benih kerang. Sebahagian warga asing bertindak terjun ke laut selepas sebuah Jeti Nelayan di Bagan Nakhoda Omar di sini diserbu pihak berkuasa pada Khamis.

"Mereka dipercayai dibayar RM150 hingga RM200 sehari dan keluar mengutip anak kerang dua atau tiga kali seminggu selain turut menerima upah lain membuat tongkah dan tangguk," katanya.

Jelas beliau, dalam operasi itu, pihaknya merampas 540 kilogram (kg) kerang bernilai RM6,480.

Tegas Noraisyah, anak kerang dan benih kerang itu dipercayai akan dihantar dan dikumpulkan di Perak sebelum diseludup ke pasaran gelap.

Dalam pada itu, katanya, operasi sama turut dijalankan di Pasir Penambang dan Assam Jawa, Kuala Selangor.

Jelas beliau, dalam operasi khas secara besar-besaran selama 24 jam itu, seramai empat individu ditahan.

"Kita berjaya merampas sebanyak dua sampan fiber, sebuah bot nelayan zon A, 64 tongkah kayu serta peralatan-peralatan menangguk anak kerang serta benih kerang dengan nilai keseluruhan rampasan di tiga lokasi itu sebanyak RM398, 880," tambah beliau.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) dan 8(b), Akta Perikanan 1985 serta Peraturan 3(1) dan 4(1), Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan Dan Kultur Kerang) 2002.

"Semua hasil rampasan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor untuk siasatan dan tindakan lanjut," ujarnya lagi.