Lelaki warga emas tular pandu lawan arus ditahan

Tangkap layar video tular memaparkan sebuah kenderaan dipandu melawan arus.
Tangkap layar video tular memaparkan sebuah kenderaan dipandu melawan arus.
A
A
A

SEREMBAN - Polis menahan seorang lelaki warga emas selepas didapati memandu kenderaan secara melawan arus di Jalan Rasah di sini sehingga perbuatannya tular di media sosial Facebook pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, siasatan awal mendapati kejadian lebih kurang jam 10 pagi itu membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora berwarna biru dipandu lelaki berusia 73 tahun.

"Kenderaan itu bergerak di lorong paling kanan secara melawan arus menuju ke arah Seremban 3 dan perbuatan ini boleh mendatangkan bahaya pada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

"Bertindak atas maklumat yang diperoleh, sepasukan polis Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Seremban berjaya mengesan suspek di Taman Desa Rasah dan telah ditahan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) dan siasatan lanjut masih diteruskan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Suresh Kumar di talian 016-4830853 atau IPD Seremban 06-6033222," katanya.

Sebuah video berdurasi 16 saat tular selepas tindakan pemandu itu telah dirakam pengguna jalan raya lain di lokasi sebelum dimuat naik di Facebook.

Artikel Berkaitan: