Ops Sabong: 261 warga asing termasuk 11 kanak-kanak ditahan

Antara individu yang diperiksa JIM Negeri Sembilan dalam Ops Sabong selama lima hari di sekitar Seremban dan Nilai. - Foto JIM Negeri Sembilan
Antara individu yang diperiksa JIM Negeri Sembilan dalam Ops Sabong selama lima hari di sekitar Seremban dan Nilai. - Foto JIM Negeri Sembilan
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan menahan 216 warga asing termasuk 11 kanak-kanak atas pelbagai kesalahan dalam Ops Sabong selama lima hari di sekitar daerah ini dan Nilai.

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, JIM Negeri Sembilan antara 10 agensi yang terlibat dalam operasi yang bermula 24 hingga 28 Oktober itu di bawah arahan Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Negeri Sembilan.

"Sepanjang tempoh operasi, JIM Negeri Sembilan telah melaksanakan sebanyak 74 operasi iaitu 24 operasi secara bersendirian dan 50 secara bersepadu dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan pihak berkuasa tempatan.

"Hasil daripada operasi itu, pemeriksaan telah dibuat ke atas 1,597 warga asing.

"Seramai 216 warga asing daripadanya telah ditahan atas pelbagai kesalahan bawah Akta Imigresen 1957/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, daripada jumlah tersebut, seramai 153 warga Myanmar, 16 (Indonesia), 24 (Bangladesh), lima (Nepal), dua (Kemboja), empat (Pakistan) dan bakinya India serta Vietnam membabitkan 134 lelaki, 71 perempuan dan 11 kanak-kanak berusia antara dua hingga 17 tahun.

"Kesemua mereka telah dihantar dan ditahan di Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.

"Sebanyak sembilan borang saman saksi juga dikeluarkan kepada majikan atau penjaga premis untuk hadir ke JIM Negeri Sembilan bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu katanya, sepanjang Januari hingga 11 Oktober lalu, JIM Negeri Sembilan telah melaksanakan 30 operasi di Nilai 3 membabitkan kedai-kedai perabot, permaidani, runcit, langsir dan kedai makan.

"Hasil daripada operasi tersebut, seramai 184 individu telah diperiksa dan 31 daripadanya telah ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.

"Daripada jumlah tersebut juga, 14 adalah warganegara Pakistan, tujuh Bangladesh, tiga India, lima Indonesia dan dua Myanmar.

"Setakat ini tiga majikan telah pun didakwa di mahkamah.

"JIM Negeri Sembilan ingin menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman rakyat tempatan sentiasa terjaga," katanya.

Menurutnya, operasi-operasi bagi mengesan dan menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) akan dipergiatkan di seluruh Negeri Sembilan bagi mendokong hasrat kerajaan dalam menjamin kesejahteraan rakyat.

Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mendapati keberadaan warga asing yang disyaki PATI di persekitaran masing-masing.

"Semua maklumat yang disalurkan adalah dirahsiakan dan JIM Negeri Sembilan akan mengambil tindakan sesegera mungkin ke atas aduan yang diterima," katanya.