Kenapa ada orang buat begitu sampai saya hilang 'mummy'

Muhammad Daiyan menitiskan air mata ketika menceritakan pesanan dan kebaikan Bella di Tanah Perkuburan Banang Jaya, Jalan Tanjung Laboh, Batu Pahat pada lewat petang Rabu.
Muhammad Daiyan menitiskan air mata ketika menceritakan pesanan dan kebaikan Bella di Tanah Perkuburan Banang Jaya, Jalan Tanjung Laboh, Batu Pahat pada lewat petang Rabu.
A
A
A

BATU PAHAT - Anak saudara kepada arwah Mila Sharmila Samsusah atau Bella, 32, seakan tidak dapat menerima hakikat bahawa ibu saudara yang menjaganya sejak kecil itu kini sudah pergi buat selama-lamanya.

Menurut Muhammad Daiyan Aimar Fairuzizan, 10, sepanjang kehilangan Bella yang sudah dianggap seperti ibu kandungnya itu, dia tidak putus berdoa setiap hari semoga wanita yang dipanggil 'mummy' itu selamat.

Dia mengakui sebelum ini bingung dan pada masa sama bimbang dengan keselamatan ibu saudaranya itu serta mengharapkannya segera pulang ke rumah.

"Sejak 'mummy' hilang, saya tidak pernah berhenti berdoa memohon 'mummy' selamat ditemui.

"Saya rindukannya dan tidak pernah berpisah lama dengan 'mummy' sejak kecil. Saya mahu berjumpanya tetapi akhirnya kecewa apabila dimaklumkan 'mummy' mati dibunuh.

"'Mummy' jaga saya penuh kasih sayang, tidak pernah sesekali memukul saya. Apa saja yang minta, pasti 'mummy' tunaikan, tetapi kenapa ada orang bertindak begitu terhadapnya sampai saya kehilangan 'mummy'.

"'Mummy' kerap berpesan supaya tidak meninggalkan solat dan jangan nakal. 'Mummy' pesan dengar cakap ayah dan ibu. 'Mummy' sangat baik dengan saya sebab itu saya sedih bila 'mummy' dah tiada," katanya.

Muhammad Daiyan yang juga anak kepada kakak Bella, Norisham, 36, ditemui selepas selesai pengebumian di Tanah Perkuburan Banang Jaya, Jalan Tanjung Laboh di sini pada petang Rabu.

Pada Rabu, teman lelaki kepada ibu tunggal dua anak itu, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyebabkan kematian Bella pada penghujung Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Bella dilaporkan hilang pada 14 Disember tahun lalu setelah ahli keluarganya gagal menghubunginya ketika keluar ke dobi sambil ditemani teman lelakinya itu dengan menaiki sebuah kereta putih sebelum membuat dua laporan polis pada 16 dan 18 Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, kakaknya, Norisham memaklumkan adiknya itu hilang selepas beberapa hari tidak dapat dihubungi, namun pelik apabila dompet yang mengandungi pengenalan diri, pakaian yang hendak dibasuh serta kunci rumah ada di kediaman Bella.

Lima suspek termasuk teman lelaki Bella telah ditahan selama tujuh hari mulai 25 Disember 2023 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Selepas 38 hari kehilangan Bella, polis Johor akhirnya berjaya mengesan rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Jumaat lalu.

Tiga suspek termasuk teman lelaki Bella ditahan reman sekali lagi bermula 21 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah pada Selasa akhirnya mengesahkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka yang ditemui adalah milik Bella susulan sampel patalogi rangka itu sepadan dengan DNA yang diambil daripada kakak serta ibunya.