Jenazah Bella selamat dikebumikan

Keluarga menenangkan anak Allahyarham Bella, Maream Isabel yang menangis ketika berada di pusara ibunya.
Keluarga menenangkan anak Allahyarham Bella, Maream Isabel yang menangis ketika berada di pusara ibunya.
A
A
A

BATU PAHAT - Jenazah Allahyarham Mila Sharmila Samsusah atau lebih dikenali sebagai Bella, 32, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya, Batu Pahat di sini pada Rabu.

Jenazah Bella tiba di Masjid Dato Bentara di sini sekitar jam 4.45 untuk solat jenazah yang dilaksanakan setelah selesai solat Asar dengan diimamkan oleh Imam 1, Hairul Zaman Ahmad.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya dengan diiringi keluarga, saudara mara dan kenalan.

Suasana pilu dan hiba menyelubungi kawasan tanah perkuburan berkenaan ketika jenazah ibu tunggal dua anak itu dikebumikan kira-kira jam 6 petang.

Ibu Bella, Noraini Salle, 55, dan kakaknya, Norhisham, 36, tidak mampu menahan sebak.

Ketika itu, anak Bella, Maream Isabel, 2, dan Eusof Abdul Fatah, 5, diberi peluang untuk melihat ibu mereka buat kali terakhir.

Pendakwah terkenal, Ebit Lew turut hadir untuk memberikan sokongan kepada keluarga.

Untuk rekod, ibu tunggal dua anak itu dilaporkan hilang pada 14 Disember tahun lalu setelah ahli keluarganya gagal menghubunginya sebelum membuat dua laporan polis pada 16 dan 18 Disember tahun ketika keluar ke dobi sambil ditemani teman lelakinya itu dengan menaiki sebuah kereta berwarna putih.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kakaknya, Norisham, 36, memaklumkan adiknya itu hilang selepas beberapa hari tidak dapat dihubungi, namun pelik apabila dompet yang mengandungi pengenalan diri, pakaian yang hendak dibasuh serta kunci rumah ada di kediaman Bella.

Lima suspek termasuk teman lelaki Bella telah ditahan selama tujuh hari mulai 25 Disember 2023 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Selepas 38 hari kehilangan Bella, polis Johor akhirnya berjaya mengesan rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Jumaat lalu.

Tiga suspek termasuk teman lelaki Bella ditahan reman sekali lagi bermula 21 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah pada Selasa akhirnya mengesahkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka yang ditemui adalah milik Bella susulan sampel patalogi rangka tersebut sepadan dengan DNA yang diambil daripada kakak serta ibunya.

Susulan laporan tersebut, teman lelaki Bella,yang juga suspek utama dalam kes kehilangannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh wanita berkenaaan penghujung Disember lalu.

Tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, yang juga teman lelaki wanita tersebut hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Norasidah A Rahman.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh susulan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Haikal didakwa membunuh Mila Sharmila antara jam 11 malam 14 Disember hingga 5.30 pagi 15 Disember 2023.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pecah dalam tempoh berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati atau penjaran tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati boleh dikenakan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.