[VIDEO] Suspek kes bunuh Bella tidak diberi layanan istimewa - KPN

A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menafikan dakwaan teman lelaki Mila Sharmila Samsusah, 32, atau Bella yang merupakan suspek utama kes pembunuhan ibu tunggal itu, diberi layanan istimewa.

Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, suspek berusia 24 tahun yang bekerja di syarikat kurier dilepaskan dengan jaminan polis pada 29 Disember tahun lalu, selepas dirakam percakapan.

"Suspek utama tidak diberi layanan istimewa. Sebenarnya begini, siasatan dilakukan secara berperingkat.

"Pertama kita siasat mengikut Seksyen 364 Kanun Keseksaan iaitu melarikan orang. Tetapi selepas keterangan serta bukti tidak mencukupi, polis beri jamin dahulu, bukan lepaskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, Timbalan Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Rabu.

Razarudin (tengah) pada sidang akhbar di IPK Johor pada Rabu.
Razarudin (tengah) pada sidang akhbar di IPK Johor pada Rabu.

Razarudin menegaskan siasatan polis dilakukan secara menyeluruh merangkumi semua aspek sekali gus menafikan dakwaan keluarga yang mempersoalkan polis lambat bertindak.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan kes ini diteruskan. Atas usaha polis Johor khususnya polis Batu Pahat, akhirnya bukti-bukti yang baharu ditemui.

"Sebenarnya, bukti dan keterangan baharu itu yang membolehkan kita menangkap semula suspek utama dan siasatan seterusnya dibuat menerusi Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Bukan sebab kita bebaskan (suspek) sebab nak beri peluang untuk dia mengerjakan umrah," katanya.

Ahad lalu, Norhisham, 36, yang merupakan kakak kepada Bella mempersoalkan beberapa tindakan polis dalam mengendalikan siasatan kes berkenaan.

Dalam hantaran di Facebook, Norhisham antara lain mendakwa pegawai penyiasat enggan berjumpa dengannya, selain mempertikai keputusan polis melepaskan individu dipercayai suspek utama atas alasan lelaki itu menghidap penyakit 'tiga serangkai'.

Dalam hantaran sama, Norhisam mendakwa, dia ke IPK dan balai polis untuk memaklumkan kehilangan Bella mempunyai unsur jenayah, bukan lagi kes orang hilang dan nyawa adiknya itu menjadi taruhan, selain mahu berjumpa pegawai penyiasat (IO) kes terbabit.

Bella dilaporkan hilang pada malam 14 Disember lalu selepas keluar ke kedai dobi bersama teman lelakinya.

Kehilangan Bella hanya disedari pada keesokan hari selepas mesej dan panggilan telefon dihantar kakaknya tidak dijawab.

Polis kemudiannya menahan teman lelaki Bella berusia 24 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan turut menahan dua lagi individu yang dipercayai ada kaitan dengan kehilangan Bella bagi membantu siasatan.

Jumaat lalu, rangka manusia termasuk tengkorak ditemukan di sebuah rumah terbiar di Batu 7, Tongkang Pechah, selepas dipandu salah seorang suspek.

Pada petang Selasa, Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah dilaporkan mengesahkan rangka yang ditemukan itu adalah Bella hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibuat.

Pada pagi Rabu, suspek utama kes pembunuhan Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 25, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan membunuh wanita itu.