Jeritan 'pembunuh, pembunuh'

Norhisham tidak dapat menahan emosi sebaik tertuduh dibawa keluar di Mahkamah Majistret pada Rabu.
Norhisham tidak dapat menahan emosi sebaik tertuduh dibawa keluar di Mahkamah Majistret pada Rabu.
A
A
A

BATU PAHAT - "Pembunuh!" itu antara jeritan yang kedengaran di pekarangan Mahkamah Majistret Batu Pahat, ketika suspek utama dalam kes bunuh Mila Sharmila, 32, atau Bella, 32, diiringi polis pada Rabu.

Jeritan daripada kakak Bella, Norhisham Samsusah, 36, itu jelas kedengaran selain kata-kata kecaman dan kejian.

Bagaimanapun, pasukan polis yang mengiringi Mohammad Haikal Mahfuz, 24, berjaya meredakan keadaan dengan menghalang sebahagian waris yang cuba mendekati kenderaan polis.

Dianggarkan seramai 50 ahli keluarga Bella hadir ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi Rabu bagi mengikuti pertuduhan kes bunuh wanita berkenaan.

Sementara itu, di luar mahkamah, keluarga Bella turut berhimpun secara aman sambil membawa gambar Bella dan menuntut keadilan diberikan sewajarnya.

Teman lelaki kepada ibu tunggal dua anak itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan membunuh wanita berkenaan penghujung Disember lalu.

Norhisham ditenangkan oleh ahli keluarganya ketika menjerit di pekarangan Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Rabu.
Norhisham ditenangkan oleh ahli keluarganya ketika menjerit di pekarangan Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Rabu.

Untuk rekod, Bella dilaporkan hilang pada 14 Disember tahun lalu setelah ahli keluarganya gagal menghubunginya ketika keluar ke dobi sambil ditemani teman lelakinya itu dengan menaiki sebuah kereta berwarna putih sebelum membuat dua laporan polis pada 16 dan 18 Disember tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kakaknya, Norisham, 36, memaklumkan adiknya itu hilang selepas beberapa hari tidak dapat dihubungi, namun pelik apabila dompet yang mengandungi pengenalan diri, pakaian yang hendak dibasuh serta kunci rumah ada di kediaman Bella.

Lima suspek termasuk teman lelaki Bella telah ditahan selama tujuh hari mulai 25 Disember 2023 sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Selepas 38 hari kehilangan Bella, polis Johor akhirnya berjaya mengesan rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, Jumaat lalu.

Tiga suspek termasuk teman lelaki Bella ditahan reman sekali lagi bermula 21 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah pada Selasa akhirnya mengesahkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka yang ditemui adalah milik Bella susulan sampel patalogi rangka tersebut sepadan dengan DNA yang diambil daripada kakak serta ibunya.