Paras air empangan di Johor stabil, empat dikesan susut bawah paras selamat

Mohamad Fazli (lima dari kiri) pada Majlis Penyerahan Jambatan Konkrit Jalan Gelang Patah–Pendas, pada Selasa
Mohamad Fazli (lima dari kiri) pada Majlis Penyerahan Jambatan Konkrit Jalan Gelang Patah–Pendas, pada Selasa
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Bekalan air di Johor dilaporkan masih mencukupi dan terkawal meskipun negeri ini berdepan cuaca kering tanpa hujan sejak lebih sebulan lalu.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, daripada keseluruhan 16 empangan, sebahagian besar masih berada pada paras selamat.

Bagaimanapun ujarnya, empat empangan dikenal pasti mengalami penyusutan kapasiti dan kini dipantau rapi.

"Empangan berkenaan ialah Empangan Upper Layang, Empangan Pulai 1, Empangan Gunung Pulai 2 serta Empangan Lower Layang yang berada di bawah pengurusan Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ).

“Secara keseluruhan, empangan di Johor masih mempunyai simpanan sekitar 70 peratus daripada kapasiti maksimum dan keadaan bekalan air masih baik.

“Cuma empat empangan ini menunjukkan bacaan bawah 60 peratus, namun belum mencapai tahap kritikal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Jambatan Konkrit Jalan Gelang Patah–Pendas di sini, pada Selasa.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad serta Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, Zainal Tumian.

Menurut Mohamad Fazli, Empangan Upper Layang kini mencatatkan paras 46.89 peratus, Empangan Pulai 1 (47.63 peratus), Empangan Gunung Pulai 2 (56 peratus) dan Empangan Lower Layang (60.33 peratus).

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, satu mesyuarat khas berkaitan pelan pengurusan kemarau akan diadakan pada Rabu, bagi membincangkan langkah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan air.

Mengulas kemungkinan pembenihan awan, beliau berkata kaedah itu antara cadangan yang akan diperhalusi, namun perlu mengambil kira faktor cuaca dan tahap keberkesanan.

 

Ringkasan AI

  • Bekalan air di Johor masih mencukupi dan terkawal meskipun berdepan cuaca kering
  • Sebahagian besar daripada 16 empangan di Johor berada pada paras selamat
  • Empat empangan mengalami penyusutan kapasiti dan sedang dipantau
  • Empangan yang terlibat ialah Empangan Upper Layang, Pulai 1, Gunung Pulai 2, dan Lower Layang dengan simpanan bawah 60 peratus
  • Mesyuarat khas akan diadakan untuk membincangkan langkah kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan air

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!