Tertekan hidup 'berjiran' kedai dobi

Keadaan belakang dobi 24 jam yang terletak berhampiran rumah penduduk.
Keadaan belakang dobi 24 jam yang terletak berhampiran rumah penduduk.
A
A
A

SELAYANG - Seorang penduduk di Jalan 13 Selayang Baru di sini, mendakwa tertekan selepas 'berjiran' dengan sebuah kedai dobi 24 jam yang menimbulkan kacau ganggu, bau busuk dan bunyi bising.

Pereka grafik, Khaironissa Othman, 39, berkata, dia mengalami sesak nafas dan sakit dada disebabkan menghidu bau detergen selain debu sabun serta habuk pakaian yang berterbangan masuk ke dalam rumah.

Menurutnya, dobi berkenaan telah beroperasi sejak 2017 namun mula menimbulkan masalah bau teruk pada 2023.

"Mula-mula saya ada rasa bahang panas dan kulit gatal-gatal tapi tidak tahu puncanya.

"Selepas Oktober 2023, barulah masalah makin teruk dengan rasa bau busuk dan kepam apabila blower dobi berkenaan betul-betul menghala ke rumah kami, " katanya kepada Sinar Harian.

Rumah Khaironissa yang terletak di belakang kedai dobi 24 jam.
Rumah Khaironissa yang terletak di belakang kedai dobi 24 jam.

Khaironissa mendakwa masalah tersebut disebabkan pemilik premis tersebut tidak membuat penyelenggaraan yang betul.

"Tiada sistem pengudaraan yang baik kerana bahagian kedai sangat sempit dan sangat hampir dengan belakang rumah saya.

Artikel Berkaitan:

"Dulu ada pekerja berus lantai di belakang kedai tapi sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tiada pekerja yang berbuat demikian.

"Jika ada hari pelanggan dobi berkenaan ramai, pelbagai bau yang akan keluar dari kipas ekzos yang menyebabkan habuk dan bau masuk ke rumah kami," katanya.

Katanya, aduan tersebut telah dipanjangkan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan berharap tindakan lanjut diambil susulan lokasi dobi tersebut terletak berhampiran rumah penduduk.

Seorang lagi penduduk, Azizah Amat, 61, berkata, kawasan tersebut tidak sesuai bagi operasi dobi yang menggunakan bahan kimia dikhuatiri boleh memberikan kesan kesihatan dan keselamatan penduduk.

"Bau dan bunyi bising setiap hari boleh menyebabkan rasa sakit kepala. Kadang kala lepas cuti perayaan, dobi akan penuh orang lagi rasa tak selesa. Bunyi bising ibarat kita duduk di belakang bas.

"Sebelum ini, premis tersebut pernah disewakan untuk restoran dan jual kerepek tapi tidak banyak masalah berbanding operasi dobi.

"Harap kalau boleh operasi dobi ini dipindahkan ke lokasi lain, tidak sesuai operasi di sini. Pemilik mungkin boleh buat rumah sewa, ramai yang cari rumah sewa sekarang," katanya.

Sementara itu, MPS memaklumkan, pihaknya telah menjalankan siasatan berhubung aduan kacau ganggu itu.

Menurut MPS, pemeriksaan telah dibuat pada 17 Januari lalu dan mendapati premis tersebut mempunyai lesen perniagaan MPS 2024.

"Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati terdapat pelanggaran syarat-syarat pelesenan MPS oleh premis dobi tersebut seperti tidak menyediakan alat pemadam api di premis dan tidak membuat pemasangan blower dengan sempurna.

"Notis Pematuhan Syarat Lesen Perniagaan telah dikeluarkan kepada pemilik premis tersebut dan ditampal di pintu premis untuk tindakan pemilik selanjutnya," kata MPS.

Tambah MPS, pemilik premis perlu hadir ke MPS bagi tindakan pematuhan lesen premis perniagaan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis dikeluarkan.

"Jika pemilik premis gagal mengemukakan tindakan mengikut tempoh masa seperti yang telah dinyatakan, lesen perniagaan premis ini boleh dibatalkan," kata MPS.