Enam tahun derita bau busuk

Jawatankuasa Penduduk Pangsapuri Desa Melayu merayu masalah bau busuk akibat limpahan sisa najis dari tangki septik segera diatasi.
Jawatankuasa Penduduk Pangsapuri Desa Melayu merayu masalah bau busuk akibat limpahan sisa najis dari tangki septik segera diatasi.
A
A
A

BUSUK dan menjijikkan. Itu keadaan terpaksa dilalui kira-kira 2,500 penduduk Pangsapuri Desa Melayu di Johor Bahru akibat limpahan sisa najis dari tangki septik yang berpunca daripada kerosakan loji rawatan kumbahan di kawasan berdekatan.

Mereka mendakwa kerosakan Loji Rawatan Kumbahan di Jalan Pantai, Kampung Bakar Batu yang terletak hampir 1 kilometer dari pangsapuri itu menyebabkan sistem pembetungan najis di rumah penduduk tersumbat hingga mengakibatkan air kumbahan melimpah dari tangki septik.

Menerusi ruangan Apa Khabar Rakyat minggu ini, ikuti laporan Zulhisham Isahak yang mendengar keluhan dan kekecewaan penduduk mengenai isu itu yang berlarutan sejak enam tahun lalu.

JOHOR BAHRU - Menghidu bau busuk sisa kumbahan yang melimpah dari tangki septik sudah menjadi rutin harian dan terpaksa ditempuh oleh penduduk Pangsapuri Desa Melayu di sini sejak enam tahun lalu.

Seorang penduduk, Muhamad Lah, 55, yang tinggal di tingkat lima blok A pangsapuri itu berkata, bau busuk dan meloyakan hampir setiap masa boleh dihidu, setiap kali melalui kawasan tangki septik tersebut.

Penduduk Pangsapuri Desa Melayu, Johor Bahru menunjukkan sisa kumbahan dari tangki septik yang melimpah.
Penduduk Pangsapuri Desa Melayu, Johor Bahru menunjukkan sisa kumbahan dari tangki septik yang melimpah.

Dia yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, bau busuk itu juga boleh dihidu di tingkat satu dan dua.

Menurutnya, keadaan bertambah buruk apabila hujan kerana sisa kumbahan akan mengalir ke atas simen di laluan pejalan kaki di pangsapuri itu.

“Perkara paling menyusahkan penduduk adalah apabila tangki septik itu tersumbat teruk hingga mengakibatkan sisa kumbahan melimpah di rumah tingkat pertama.

“Penduduk yang terlibat akan membuka sendiri saluran kumbahan di tingkat bawah untuk menyelesaikan masalah itu.

“Keadaan ini akan menambahkan lagi sisa kumbahan di pangsapuri tersebut. Ini belum dikira apabila hujan, air akan bertakung di sebelah hujung bangunan,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Loji Rawatan Kumbahan di Jalan Pantai, Kampung Bakar Batu, Johor Bahru yang mengalami kerosakan dan menjejaskan kira-kira 2,500 penduduk Pangsapuri Desa Melayu.
Loji Rawatan Kumbahan di Jalan Pantai, Kampung Bakar Batu, Johor Bahru yang mengalami kerosakan dan menjejaskan kira-kira 2,500 penduduk Pangsapuri Desa Melayu.

Bapa kepada empat anak itu mendakwa, masalah tersebut berpunca daripada kerosakan Loji Rawatan Kumbahan di Jalan Pantai, Kampung Bakar Batu yang menyebabkan sistem pembetungan najis di rumah penduduk tersumbat hingga air kumbahan melimpah.

“Saya dimaklumkan loji berkenaan sudah tidak beroperasi kerana pam air dan peralatannya sudah dicuri.

“Ini kerana sebelum ini loji itu sudah siap awal tetapi pangsapuri ini masih terbengkalai. Kesempatan ini diambil pihak tidak bertanggungjawab untuk mencuri pam air di situ.

“Apabila tiada pam air, sisa kumbahan tidak boleh disedut dari pangsapuri ini masuk ke loji. Masalah ini bukan sahaja dihadapi penduduk di dua blok pangsapuri ini tetapi juga di empat blok di Pangsapuri Hajah Hasnah,” katanya.

No Image Caption

Sementara itu, Nur Aini Rahman, 32, berkata, masalah tersebut menyebabkan kehidupan harian masyarakat terganggu, malah penduduk malu apabila orang luar datang ke pangsapuri tersebut kerana bau busuk yang menusuk hidung dan najis tertabur.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu yang sudah setahun menyewa di tingkat dua berkata, keadaan tersebut sukar dipercayai apatah lagi pangsapuri berkenaan terletak dalam kawasan bandar raya.

Foni Wastum
Foni Wastum

Foni Wastum, 40, yang tinggal di tingkat enam pula berkata, masalah itu diburukkan lagi dengan paip sisa kumbahan yang pecah dan air tersembur keluar dan keadaan seperti itu berulang kali berlaku.

“Kita boleh tengok apabila ada penduduk yang baiki sendiri paip kumbahan yang pecah, beberapa bulan selepas itu bahagian paip lain pula pecah. Situasi ini macam tidak pernah berkesudahan.

“Biasanya kawasan bawah ini tempat untuk kanak-kanak bermain, tetapi apabila perkara ini berlaku, sudah tentu jadi tidak sesuai lagi, sudah tidak selesa dan kotor selain banyak lipas,” ujar suri rumah tersebut.

Saluran paip yang bocor memburukkan lagi keadaan di Pangsapuri Desa Melayu.
Saluran paip yang bocor memburukkan lagi keadaan di Pangsapuri Desa Melayu.

Mengulas mengenai isu tersebut, Hafizuddin Haznam, 24, yang tinggal di tingkat lima berkata, aduan sudah dibuat kepada pihak jawatankuasa penduduk di pangsapuri tersebut dan dia juga menggesa pihak berkaitan supaya tidak lepas tangan.Dia yang masih bujang berkata, penduduk membayar wang penyelenggaraan setiap bulan tetapi masalah terbabit seperti tidak diendahkan.