Empat ditahan kes samun kedai serbaneka 24 jam

Fisol (kiri) menunjukkan antara peralatan digunakan suspek untuk menyamun kedai serbaneka di Kedah.
Fisol (kiri) menunjukkan antara peralatan digunakan suspek untuk menyamun kedai serbaneka di Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Empat individu ditahan selepas disyaki terbabit kes samun berasingan yang menyasarkan kedai serbaneka 24 jam di beberapa daerah di Kedah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, tiga suspek berusia antara 30 hingga 40 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat kes samun pada 21 Oktober lepas.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek terbabit ditahan di Sungai Petani dalam tempoh kurang 48 jam sahaja.

"Sehubungan itu, mereka akan dituduh mengikut mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata.

"Kes terbaharu berlaku pada 24 Oktober dan pagi tadi (Khamis) juga kita telah berjaya menangkap satu lelaki yang juga akan tuduh di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 397 kerana menggunakan senjata parang," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata, tangkapan kedua itu dilakukan di Alor Setar ke atas seorang lelaki berusia 27 tahun kerana disyaki terlibat kes samun pada Selasa.

Menurut Fisol, modus operandi suspek adalah menyasarkan untuk menyamun kedai serbaneka 24 jam pada waktu tertentu terutamanya sunyi dan gelap.

"Kebanyakan kedai serbaneka 24 jam mempunyai kamera litar tertutup, namun hanya ada seorang pekerja di waktu malam dan dibimbangkan tidak ada ciri keselamatan yang baik.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya tengok itulah peluang yang diambil oleh pelaku-pelaku ini, yang mana jikalau kita tengok kes berlaku pun di awal pagi atau tengah malam," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pemilik kedai serbaneka 24 jam untuk mengambil langkah keselamatan yang wajar.

"Polis juga tidak akan berkompromi kepada mana-mana individu yang mengambil tindakan untuk samun dengan menggunakan senjata dan kita akan mengambil tindakan serta merta," katanya.

Sementara itu, Fisol memberitahu, sehingga kini, pihaknya menerima laporan 207 kes samun di seluruh Kedah dan berjaya menyelesaikan 77 kes setakat ini.

"Daripada 270 kes ini, sebanyak 20 kes adalah laporan palsu disebabkan ingin mengelak dikenakan kompaun atau membayar penalti disebabkan kehilangan kad pengenalan diri.

"Individu membuat laporan palsu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan," ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah telah membuat pelupusan barang kes daripada tahun 2014 hingga 2022 melibatkan 100.48 kilogram (g) pelbagai jenis dadah.