Kes Ebit Lew: Tiga gambar tangkap layar daripada telefon bimbit pengadu

Ebit (tengah) ketika tiba di Mahkamah Tenom pada Rabu.
Ebit (tengah) ketika tiba di Mahkamah Tenom pada Rabu.
A
A
A

TENOM - Saksi ketujuh kes perbicaraan Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa hasil analisis yang dijalankan terhadap tiga gambar yang dirujuk kepadanya adalah tangkap layar daripada telefon bimbit pengadu.

Juruanalisis Kanan Siasatan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superintenden Latifah Abdul Aziz menjelaskan perkara itu pada sesi pemeriksaan semula terhadapnya yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad.

Dalam sesi pemeriksaan balas oleh peguam bela, Datuk Ram Singh, Latifah tidak bersetuju bahawa tiga gambar tersebut mungkin bukan original daripada telefon bimbit yang dianalisisnya.

"Saya tidak bersetuju kerana daripada hasil analisis yang saya jalankan tiga gambar tersebut ditangkap layar oleh telefon yang bertanda NA-1 (telefon bimbit pengadu).

"Ini dapat dilihat di dalam metadata imej tersebut," jelasnya ketika hadir pada perbicaraan di Mahkamah Tenom pada Rabu.

Latifah dalam pemeriksaan balas sebelum ini diminta merujuk kepada tiga imej yang memaparkan tangkap layar gambar kemaluan lelaki.

Dalam pemeriksaan balas seterusnya, Latifah juga menjelaskan mengapa beliau bersetuju andaian bahawa 436 item adalah imej tangkap layar dan bukan teks original daripada Samsung Galaxy A31.

"Sebagaimana yang saya nyatakan dalam hasil analisis saya, 436 imej yang dikeluarkan adalah gambar tangkap layar dan bukannya daripada teks original yang ada dalam telefon bimbit Samsung Galaxy A31," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nor Azizah turut merujuk Latifah kepada soalan pemeriksaan balas daripada Ram bahawa beliau bersetuju andaian 436 item di dalam Samsung Galaxy A31 berkemungkinan boleh dikacau ganggu sebelum tangkap layar dilakukan.

"Ya, berkemungkinan boleh berlaku tetapi verifikasi telah dijalankan dan hasilnya tidak menunjukkan imej-imej ini dikacau ganggu," katanya.

Perbicaraan akan disambung jam 3 petang Rabu dengan menampilkan saksi kelapan, Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Makmal Forensik PDRM, Inspektor Yip Chang Ching untuk memberi keterangan.

Sebelum itu, berlaku pertikaian antara pihak pendakwaan dengan peguam bela untuk menampilkan Chang Ching sebagai saksi seterusnya.

Ram meminta mahkamah supaya tidak meneruskan perbicaraan dengan memanggil Chang Ching sebagai saksi seterusnya kerana pihaknya akan memfailkan semakan ke Mahkamah Tinggi berhubung 90 imej yang didakwa berunsur lucah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Zahidah Zakaria percaya bahawa itu hanya sebagai usaha melengahkan perbicaraan tersebut.

"Pihak pendakwaan telahpun mematuhi arahan mahkamah pada 26 September 2023 di mana mahkamah beri masa pihak pembelaan untuk meneliti kandungan bahan bukti.

"Pihak pendakwaan juga telah memaklumkan mahkamah sebelum prosiding hari ini untuk memanggil Inspektor Chang Ching bagi prosiding pada hari ini.

"Kami juga dimaklumkan bahawa penerbangan Inspektor Chang Ching telah sampai ke Kota Kinabalu pada jam 10.45 pagi tadi," katanya.

Zahidah memaklumkan, Chang Ching akan memberi keteranan mengenai kandungan bahan bukti yang merupakan pemacu kilat mengandungi data daripada telefon bimbit tertuduh yang telah diserahkan oleh LGMS kepada PDRM.

Dalam perbicaraan ini, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, diwakili barisan peguamnya iaitu Ram, Timothy Daut dan Chen Wen Jye manakala pendakwaan dikendalikan Nor Azizah, Zahida dan Analia Kamaruddin serta Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ebit berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.