Kes Ebit Lew: Perbicaraan hanya sehari, tangguh hingga Januari

Ebit Lew (kanan) ketika hadir ke Mahkamah Majistret Tenom bersama peguamnya pada Selasa.
Ebit Lew (kanan) ketika hadir ke Mahkamah Majistret Tenom bersama peguamnya pada Selasa.
A
A
A

TENOM - Perbicaraan pendakwah terkenal, Ebit Lew ditangguh pada Selasa dan akan disambung semula pada Januari tahun depan.

Mahkamah menetapkan tarikh baharu iaitu 9 hingga 12 Januari bagi saksi ketujuh atau kelapan untuk memberi keterangan di Mahkamah Majistret Tenom.

Sebelum itu, perbicaraan yang dijadualkan selama tiga hari iaitu sehingga Jumaat ini terpaksa ditangguhkan susulan pemacu pena dan cakera video digital boleh rekod (DVD-R) sebagai barang kes yang dikemukakan di mahkamah belum diterima oleh pihak pembelaan untuk diteliti.

Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Yip Chang Ching yang hadir sebagai saksi kelapan memberi keterangan berhubung isi kandungan pemacu pena dan cakera video digital boleh rekod (DVD-R) yang dianalisisnya.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan kali ini tidak dapat diteruskan kepada Chang Ching melainkan jika masa mencukupi untuk pihak pembelaan mengkaji kandungan pemacu pena berkenaan.

Sebelum perbicaraan ditangguhkan, salinan pemacu pena telahpun diserahkan kepada pihak pembelaan manakala salinan asal diserahkan kepada mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad sebelum itu turut meminta penjelasan daripada Chang Ching kenapa terdapat dua pemacu pena untuk diserahkan kepada pihak pembelaan.

"Untuk makluman, data dalam pemacu pena ada dalam lebih kurang 140GB. Pemacu pena yang disediakan adalah 128GB, jadi data dipecahkan kepada dua untuk diserahkan kepada pihak pembelaan," kata Chang Ching.

Artikel Berkaitan:

Ram Singh yang mewakili Ebit mengesahkan pihaknya menerima dua pemacu pena dan juga satu CD-R (cakera padat) untuk diteliti isi kandungannya.

Sementara itu, mahkamah turut menetapkan tarikh perbicaraan seterusnya iaitu pada 13 hingga 16 Februari depan dengan memanggil saksi ketujuh, Juruanalisis Kanan Audio/Video Makmal Forensik PDRM Cheras, Selangor, Asisten Superitendan Latifah Abdul Aziz untuk memberi keterangan menerusi pemeriksaan semula nanti.

Tarikh perbicaraan seterusnya dijadualkan pada 20 hingga 22 Mac dengan keterangan daripada Chang Ching dan pada 20 hingga 25 Mei pula pengadu dalam kes ini dijadualkan akan memberi keterangan di mahkamah.

Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah yang bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Pada perbicaraan kali ini Ebit diwakili oleh barisan peguamnya iaitu Ram dan Nizam Salleh Keruak manakala pihak pendakwaan dibarisi oleh Nor Azizah serta Zahida Zakaria dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.