Kes Ebit Lew: Saksi hanya keluarkan data daripada telefon Firdaus Wong

Ebit ketika memasuki Mahkamah Tenom bagi menghadiri perbicaraannya di Tenom.
Ebit ketika memasuki Mahkamah Tenom bagi menghadiri perbicaraannya di Tenom.
A
A
A

TENOM - Juruanalisis Kanan Siasatan Audio Video Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Superintenden Latifah Abdul Aziz memberitahu mahkamah bahawa beliau hanya menjalankan proses analisis mengeluarkan keseluruhan data daripada iPhone XS Max milik Pendakwah bebas, Firdaus Wong.

Latifah yang merupakan saksi ketujuh bagi kes perbicaraan pendakwah terkenal Ebit Lew menjelaskan perkara itu ketika sesi pemeriksaan semula terhadapnya yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad.

Nor Azizah dalam pemeriksaan semula merujuk kepada soalan daripada peguam bela Datuk Ram Singh dalam sesi pemeriksaan balas sebelum ini.

Latifah diminta menjelaskan kenapa beliau bersetuju dengan andaian bahawa dia tidak melihat keraguan dalam bukti berdasarkan metodologi penyiasatan dan pendekatan yang digunakan pada telefon bimbit yang dirampas iaitu iPhone XS Max milik Firdaus Wong.

"Bagi barang kes iPhone XS Max, saya menjalankan proses analisis dengan mengeluarkan keseluruhan data dan analisis saya adalah menyeluruh manakala untuk 'further investigation methodology' bagi mengaitkan telefon bimbit tersebut dengan saksi (Firdaus Wong) tersebut memang tidak dijalankan," katanya.

Diminta menjelaskan lebih lanjut kenapa tidak dijalankan 'further investigation methodology', Latifah menerangkan bahawa keseluruhan data yang dikeluarkannya dari barang kes tersebut telah diserahkan kepada pegawai penyiasat.

"Ia adalah tugas pegawai penyiasat untuk menjalankan 'further investigation methodology' bagi mengaitkan telefon bimbit tersebut dengan saksi," katanya.

Sementara itu, Nor Azizah juga meminta Latifah menjelaskan kenapa beliau tidak bersetuju dengan soalan pemeriksaan balas adakah beliau hanya melakukan pemerhatian dan bukannya analisis forensik.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak bersetuju kerana soalan tersebut merujuk kepada ayat dalam laporan analisis saya di bahagian hasil analisisnya di para dua.

"Iaitu pemerhatian yang dijalankan terhadap hasil analisis mendapati video dipercayai berunsur lucah adalah terkandung dalam barang kes yang bermaksud saya telah menjalankan proses secara forensik terhadap barang kes tersebut dan pemerhatian dijalankan terhadap hasil analisis mengeluarkan data dan maklumat berkaitan dengan permohonan pegawai penyiasat," katanya.

Sebelum itu, Firdaus Wong atau nama sebenarnya, Firdaus Wong Hai Hung, 39, merupakan saksi ketiga yang memberi keterangan di mahkamah bagi kes tersebut.

Dalam kes ini, Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah yang bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Pihak pendakwaan dibarisi oleh Azizah, Zahida Zakaria bersama Analia Kamaruddin dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.