Ebit Lew disiasat dakwaan merogol - Bukit Aman

Ebit Lew (kiri), Mondy.
Ebit Lew (kiri), Mondy.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew disiasat berhubung dakwaan merogol pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tattoo.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kes tersebut akan disiasat bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Beliau berkata, Mondy sebelum ini membuat laporan polis menyatakan dirinya telah dirogol oleh pendakwah tersebut.

Katanya, lima hari sebelum Ebit Lew membuat laporan, pihak polis turut menerima satu laporan daripada Mondy mendakwa dia telah dirogol.

"Sebaik sahaja tiba di Malaysia, Ebit Lew telah membuat laporan polis berkaitan dakwaan fitnah terhadapnya dan satu lagi laporan polis bagi menafikan kes rogol.

"Setakat ini, wanita warga Indonesia itu masih berada di Malaysia," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya telah memanggil 13 orang saksi berhubung kedua-dua kes tersebut setakat ini.

Berhubung dakwaan polis merampas telefon bimbit milik Mondy, beliau berkata, pihaknya hanya mengambil untuk tujuan siasatan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, tindakan itu dibuat bagi memastikan semua maklumat diperoleh sepadan dengan apa yang ada di dalam telefon bimbit Mondy.

"Kita ambil telefon Mondy untuk siasatan kerana memang ada peruntukan undang-undang terhadap tindakan tersebut.

"Apabila kita ambil, ia digunakan untuk siasat sama ada 'content' (kandungan) di dalam telefon bimbit dan masa selari dengan laporan dibuat," ujarnya.

Kata beliau, kes disiasat bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, polis telah merakam percakapan penyanyi rap, Caprice dan Mondy Tattoo berhubung laporan yang dibuat Ebit Lew pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar dilaporkan berkata, rakaman percakapan tersebut telah diambil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bagi siasatan lanjut.