Kes Ebit Lew: Saksi kelapan diminta keluarkan data 'pendrive' berunsur lucah

Ebit Lew ketika hadir ke Mahkamah Majistret Tenom.
Ebit Lew ketika hadir ke Mahkamah Majistret Tenom.
A
A
A

TENOM - [DIKEMAS KINI] Saksi kelapan pihak pendakwaan kes pendakwah terkenal Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa dia diminta oleh pegawai penyiasat untuk mengeluarkan data berunsur lucah daripada pemacu pena yang diterimanya.

Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Yip Chang Ching berkata, barang kes yang diterimanya berupa pemacu pena untuk dianalisis.

"Setelah menerima barang kes tersebut, saya telah menyambungkan pemacu pena tersebut ke komputer makmal forensik untuk mengeluarkan data yang diperlukan oleh pegawai penyiasat," katanya.

Chang Ching berkata demikian ketika memberi keterangan pada pemeriksaan utama perbicaraan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

Ditanya lanjut mengenai apa permohonan analisis yang diperlukan oleh pegawai penyiasat terbabit, Chang Ching memaklumkan ia berkaitan data yang ada di dalam pemacu pena berkenaan.

"Pegawai penyiasat memohon untuk mengeluarkan data-data yang berunsurkan seksual," katanya.

Diminta menjelaskan dengan lanjut, Chang Ching memaklumkan kepada mahkamah bahawa isi kandungan pemacu keras itu terdapat satu fail format 'UFED' iaitu data diekstrak yang telah dilakukan oleh pihak lain.

"Kemudian saya telah membuka fail tersebut menggunakan perisian forensik bagi membuka data 'extraction' tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau kemudian menjelaskan lebih lanjut apa yang dimaksudkan mengenai data 'extraction' menerusi keterangannya itu.

"Maksud data 'extraction' adalah merupakan satu fail dalam format 'extraction' iaitu 'UFED' bila mana fail itu telah diekstrak menggunakan satu perisian forensik bagi mengeluarkan data 'raw' daripada barang kes sebelum dianalisis dijalankan," katanya.

Katanya lagi, proses untuk membuka data yang diekstrak itu turut mengambil masa sehingga empat jam 50 minit dan beliau turut menjelaskan tindakannya yang seterusnya.

"Saya telah mengambil masa lebih kurang dua hari untuk membuat analisis ke atas data yang disediakan.

"Saya telah menyimpan data tersebut ke dalam cakera video digital boleh rekod (DVD-R) PDRM dan menyediakan satu laporan analisis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat pada 10 Januari 2023," katanya.

Bagaimanapun, perincian mengenai data yang dianalisis belum dapat didedahkan berikutan pemacu pena dan DVD-R itu turut belum diserahkan kepada pihak pembelaan sekali gus menyebabkan prosiding berkenaan tidak dapat diteruskan.

Ram Singh yang mewakili Ebit dalam hujahannya berkata, pihak pembelaan memerlukan masa untuk mengkaji isi kandungan pemacu pena dan DVD-R serta merujuknya kepada syarikat LGMS.

"Sejujurnya kami tidak dapat meneruskan prosiding pada minggu ini.

"Pandangan saya, biarlah kami mengkaji DVD-R dan pemacu pena kerana ia adalah dari LGMS dan sebaiknya dilakukan pada tarikh akan datang," katanya.

Dalam hujahannya turut berkata, laporan siasatan forensik digital itu disediakan oleh syarikat LGMS.

"Individu yang terbaik memberi penerangan mengenai IDD-2 (laporan siasatan forensik digital) ialah LGMS dan bukannya saksi kelapan malah bukan dia yang ektrak cakera keras daripada LGMS kepada cakera keras PDRM.

"Jadi tidak perlu tergesa-gesa untuk saksi kelapan untuk bercakap mengenai laporan siasatan forensik dan kami juga perlu menghubungi LGMS yang terletak di Subang, Selangor," katanya.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan kali ini tidak dapat diteruskan kepada saksi kelapan melainkan jika masa mencukupi untuk pihak pembelaan mengkaji kandungan pemacu pena berkenaan.

Dalam laporan Sinar Harian sebelum ini, LGMS merupakan sebuah syarikat penyedia perkhidmatan keselamatan siber profesional Malaysia.

Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, berhadapan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah yang bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Pada perbicaraan kali ini Ebit diwakili oleh barisan peguamnya iaitu Ram dan Nizam Salleh Keruak manakala pihak pendakwaan dibarisi oleh Nor Azizah Mohamad serta Zahida dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.