Beri suapan RM55 kepada polis, jurulatih badminton didenda RM3,000

KANGAR - Seorang jurulatih badminton didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberi suapan wang tunai RM55 kepada seorang koperal polis pada Mei 2022.
Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi turut memerintahkan tertuduh, Lim Chon Shia, 45, dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memberi wang tunai itu kepada anggota polis tersebut sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa lesen sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Guar Nangka, Arau pada 10.45 pagi, 28 Mei 2022, dan dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Atikah Ab Rashid dan Pegawai Pendakwa SPRM Perlis S. Sujatha, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Mohd Hapiz Rajali.
Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan. - Bernama
Ringkasan AI
- Seorang jurulatih badminton didenda RM3,000 kerana memberi suapan kepada polis
- Jika gagal membayar denda, akan dipenjara tiga bulan
- Suapan RM55 diberi untuk mengelak tindakan undang-undang atas kesalahan memandu tanpa lesen
- Kejadian berlaku di Jalan Guar Nangka, Arau pada 28 Mei 2022
- Tertuduh membayar denda tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
