Stor haram simpan 1,200 liter diesel bersubsidi diserbu

SANDAKAN – Cubaan menyeleweng diesel bersubsidi yang disimpan di dalam dram dan disembunyikan di sebuah stor haram terbongkar selepas diserbu pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan di Kampung Segaliud, di sini.
Dalam serbuan kira-kira jam 11.45 pagi Selasa lalu, sebanyak 1,200 liter diesel bersubsidi ditemukan tanpa sebarang permit atau lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan.
Ketua Cawangan KPDN Sandakan, Joe Azmi Jamil berkata, serbuan itu dijalankan hasil risikan pihaknya.
“Hasil serbuan, sebanyak 1,200 liter diesel yang disimpan dalam enam dram bersama beberapa dokumen berkaitan telah disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM5,340.
“Seorang lelaki warga asing berusia 51 tahun yang dipercayai bertanggungjawab ke atas premis itu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran Pengawal Bekalan.
“Di bawah akta ini, individu yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Bagi syarikat pula, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengusaha stesen minyak di daerah ini supaya tidak menjual diesel dan petrol RON95 bersubsidi kepada pembeli tanpa kebenaran bertulis daripada KPDN.
“KPDN Cawangan Sandakan akan terus mempergiat pemeriksaan dan pemantauan terhadap aktiviti melibatkan barang kawalan seperti diesel, petrol RON95, gas petroleum cecair, minyak masak, gula dan tepung gandum bagi membanteras sebarang penyelewengan,” katanya.
Sementara itu, katanya, sejak 1 Januari lalu hingga kini, KPDN Cawangan Sandakan telah membuka 11 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan berjumlah RM965,742.21.
“Selain itu, sebanyak 26 kes turut diambil tindakan di bawah pelbagai undang-undang lain dengan nilai rampasan RM11,634.60.
“Sepanjang tempoh sama, 26 kes telah dikompaun dengan kutipan RM7,100 manakala denda keseluruhan bagi kes yang disabitkan di mahkamah berjumlah RM112,000,” jelasnya.
Ringkasan AI
- Cubaan menyeleweng diesel bersubsidi dalam dram di stor haram di Sandakan terbongkar
- Serbuan menghasilkan penemuan 1,200 liter diesel tanpa permit
- Serbuan berasaskan risikan oleh KPDN Cawangan Sandakan
- Seorang warga asing ditahan untuk membantu siasatan
- Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, hukuman berat bagi pelanggaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
