Dua kertas siasatan kes Ebit Lew diserah kepada Jabatan Peguam Negara

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah menyerahkan dua kertas siasatan membabitkan kes pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew kepada Jabatan Peguam Negara, minggu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kertas siasatan itu berkaitan dakwaan seorang pempengaruh dari Indonesia berhubung gangguan seksual oleh Ebit Lew dan laporan polis pendakwah tersebut bagi menafikan kes itu.

"Kedua-dua kertas siasatan itu telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara minggu lalu. Saya tidak boleh mengulas lanjut kerana Ebit Lew sedang menghadapi kes mahkamah di Sabah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan pempengaruh Mondy Tattoo membuat laporan polis menyatakan dirinya telah dirogol oleh pendakwah tersebut.

Mohd Shuhaily dilaporkan berkata, Ebit Lew juga telah membuat laporan polis berkaitan dakwaan fitnah terhadapnya dan satu lagi laporan polis bagi menafikan kes rogol.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, polis telah merakam percakapan penyanyi rap, Caprice dan Mondy berhubung laporan yang dibuat Ebit Lew.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintenden Mohd Fairus Jaafar dilaporkan berkata, rakaman percakapan tersebut telah diambil di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Artikel Berkaitan: