Bina tembok penghadang ombak selamatkan perigi usia ratusan tahun

Razali (dua dari kanan) bersama Ahmad Ridzwan (tengah) dan Mohd Shafizi (kanan) ketika meninjau keadaan perigi lama di Kampung Mengabang Kapal, Batu Rakit di Kuala Nerus.
Razali (dua dari kanan) bersama Ahmad Ridzwan (tengah) dan Mohd Shafizi (kanan) ketika meninjau keadaan perigi lama di Kampung Mengabang Kapal, Batu Rakit di Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Masalah hakisan pantai yang berlaku sehingga mengubah struktur tanah di sekeliling perigi lama berusia ratusan tahun di Kampung Mengabang Kapal, Batu Rakit di Kuala Nerus mendapat perhatian kerajaan negeri Terengganu.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, sebagai langkah awal sebuah tembok penghadang akan dibina di sekitar kawasan perigi itu bagi memastikan ia kekal pada kedudukan asal dan tidak dihanyutkan ombak.

"Kita akan bina sebuah tembok penghadang di kawasan perigi ini secepat mungkin bagi melindungi ia daripada musnah akibat masalah hakisan.

"Proses pembinaan tembok itu akan diuruskan oleh anak syarikat kerajaan negeri, GPQ Sdn Bhd di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan anggaran kos perbelanjaan sebanyak RM30,000," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Menurut Razali, cadangan pembinaan tembok penghadang itu telah dipersetujui oleh syarikat berkenaan yang terlibat dalam industri pembinaan.

Perigi lama berusia ratusan tahun itu berdepan ancaman hakisan ombak sekiranya tidak dipulihara secepat mungkin.
Perigi lama berusia ratusan tahun itu berdepan ancaman hakisan ombak sekiranya tidak dipulihara secepat mungkin.

"Mereka telah bersetuju untuk membina tembok penghadang yang bersesuaian untuk memastikan struktur perigi lama itu kekal dan tidak terjejas apabila berdepan masalah hakisan yang semakin kritikal ketika ini," ujarnya.

Sabtu lalu, Razali turut meluangkan masa meninjau lokasi perigi lama yang dipercayai berusia 101 tahun dan mempunyai nilai sejarah tersendiri sebagaimana diceritakan oleh penduduk setempat.

Artikel Berkaitan:

"Apabila saya dapat tahu berita yang tular mengenai perigi lama itu, saya telah melawat lokasi tersebut bersama Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman dan beberapa agensi berkaitan.

"Turut bersama saya dalam tinjauan itu ialah pegawai dari Jabatan Pengairan dan Saliran, wakil Pejabat Daerah Kuala Nerus dan Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail," katanya.

Difahamkan, sekitar awal tahun 1970-an, perigi lama itu berada pada kedudukan antara 100 hingga 200 meter dari pantai.

Bagaimanapun, proses hakisan menyebabkan ia berisiko lenyap ditelan ombak jika tiada usaha segera dilakukan bagi memulihara segera bahan peninggalan sejarah itu.