'Bunyi macam guruh, rupanya tembok penghadang runtuh'

Keadaan runtuhan tembok penghadang belakang rumah di Taman Seberang Damai, Temerloh. (Gambar kecil: Muhammad Mustaqim dan Marzura)
Keadaan runtuhan tembok penghadang belakang rumah di Taman Seberang Damai, Temerloh. (Gambar kecil: Muhammad Mustaqim dan Marzura)
A
A
A

TEMERLOH - "Saya dengar macam bunyi guruh ketika runtuhan berlaku," kata seorang guru, Marzura Aliasak, 53, yang berdepan detik cemas selepas tembok penghadang belakang rumahnya di Taman Seberang Damai di sini runtuh pada Ahad.

Menurutnya, kejadian disedari oleh anak perempuannya yang sedang mencuci pakaian kira-kira jam 4 petang.

"Saya nampak rekahan semakin membesar dan ambil gambar untuk dimaklumkan kepada jiran-jiran lain.

"Pada jam 6.15 petang, berlaku runtuhan pertama dan runtuhan seterusnya," jelasnya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Marzura antara pemilik empat unit rumah di Jalan Seberang Damai 1 yang terjejas dalam kejadian tersebut dan menyebabkan 22 penghuni terpaksa berpindah sementara waktu.

Runtuhan tembok penghadang itu membabitkan struktur dinding bata setebal 225mm, empat meter tinggi dan 55 meter panjang.

Empat buah rumah kini dikosongkan buat sementara waktu.
Empat buah rumah kini dikosongkan buat sementara waktu.



Seorang lagi penduduk terlibat, Muhammad Mustaqim Zainal Ariffin, 36, mendakwa rekahan itu berlaku sejak mula mendiami rumah itu pada 2016 lagi.

Artikel Berkaitan:

"Jadi saya berharap selain membaiki cerun, punca masalah ini berlaku dapat diatasi untuk mengelakkan sebarang insiden tak diingini.

"Buat sementara waktu, saya bersama isteri dan tiga anak menumpang di rumah saudara," ujar pegawai bank terbabit.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) Temerloh, Suris Mihat memberitahu, pihak pemaju telah menyatakan kesanggupan untuk membaiki cerun di lokasi kejadian.

Suris (tengah) mengadakan perjumpaan bersama penduduk yang terlibat.
Suris (tengah) mengadakan perjumpaan bersama penduduk yang terlibat.

Jelasnya, MPT juga memberikan tempoh dua minggu dan memantau rapi projek pembaikan cerun tersebut supaya ia mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

"Projek pembaikan itu melibatkan pembinaan cerucuk keping bagi melindungi cerun supaya tidak runtuh," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat bersama penduduk di Bilik Mesyuarat Utama MPT.

Ditanya jaminan keselamatan yang diharapkan penduduk, beliau memberitahu MPK akan merujuk kepada perunding dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mendapatkan nasihat teknikal bagi tujuan tersebut.