KPDN sita 4,500 liter minyak diesel bersubsidi

Lima tangki berisi cecair dipercayai minyak diesel bersubsidi disita selepas KPDN Cawangan Kuala Kangsar berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi. FOTO KPDN Perak.
Lima tangki berisi cecair dipercayai minyak diesel bersubsidi disita selepas KPDN Cawangan Kuala Kangsar berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi. FOTO KPDN Perak.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak Cawangan Kuala Kangsar menyita 4,500 liter minyak diesel bersubsidi yang diseleweng dalam Op Tiris 3.0 awal pagi Sabtu.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan menumpaskan sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi itu dilaksanakan sekitar jam 2.45 pagi hasil maklumat risikan anggota penguat kuasa.

Menurutnya, aktiviti pembelian minyak diesel yang mencurigakan menggunakan sebuah lori jenis bonded dikesan di sebuah stesen minyak berjenama di Jalan Puncak Bougainvillea di sini.

Lori jenis bonded bersama tangki berisi cecair dipercayai minyak diesel bersubsidi disita selepas KPDN Cawangan Kuala Kangsar berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi. FOTO KPDN Perak.
Lori jenis bonded bersama tangki berisi cecair dipercayai minyak diesel bersubsidi disita selepas KPDN Cawangan Kuala Kangsar berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi. FOTO KPDN Perak.

"Hasil pemeriksaan ke atas lori 'bonded' tersebut menemui lima unit tangki yang mengandungi cecair yang disyaki minyak diesel berada di dalam lori tersebut.

"Seorang lelaki tempatan berumur 48 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori turut berada di tempat kejadian dan gagal mengemukakan sebarang dokumen melibatkan permit atau lesen barang kawalan apabila diminta.

"Lelaki terbabit mendakwa, beliau hanya pekerja dan dibayar gaji oleh majikan untuk membeli minyak diesel di stesen minyak dan perlu menunggu arahan selanjutnya bagi mengetahui destinasi penghantaran apabila telah selesai pembelian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kamalludin berkata, tindakan sitaan telah dilaksanakan ke atas kenderaan tersebut bersama lima unit tangki, 4,500 liter cecair yang disyaki minyak diesel, satu set pam dan dokumen yang berkaitan dengan nilai keseluruhan rampasan bernilai RM44,575 selain pemandu lori terbabit juga turut ditahan untuk siasatan lanjut

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun bagi individu manakala denda tidak lebih RM2 juta bagi syarikat jika sabit kesalahan.

Jelasnya, pengusaha stesen minyak juga akan diambil tindakan kerana disyaki melanggar arahan pengawal bekalan dengan membenarkan mana-mana individu membuat pengisian minyak diesel ke dalam tong dan bukannya tangki asal kenderaan tanpa kebenaran atau kelulusan daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

Dalam masa sama, siasatan turut dilakukan terhadap pengusaha stesen minyak berkenaan kerana disyaki tidak mematuhi Arahan Pengawal Bekalan mengenai penjualan minyak diesel melebihi 250 liter bagi satu transaksi.

"KPDN sentiasa komited dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi mempergiatkan serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pengedaran barang-barang kawalan di seluruh negara.

"Ini bagi memastikan bekalan barang kawalan untuk kegunaan rakyat Malaysia sentiasa mencukupi dan tidak berlaku ketirisan barang-barang kawalan bersubsidi yang akan merugikan negara kita," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!