Kaki pancing derita melioidosis

Lelaki berkenaan dipercayai dijangkiti melioidosis ketika melakukan aktiviti memancing di sebuah sungai. (Gambar hiasan) Foto 123RF
Lelaki berkenaan dipercayai dijangkiti melioidosis ketika melakukan aktiviti memancing di sebuah sungai. (Gambar hiasan) Foto 123RF
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang isteri berkongsi kisah suaminya menghidap penyakit berkaitan komplikasi jangkitan kuman tanah atau melioidosis selepas dipercayai melakukan aktiviti memancing di sebuah sungai dekat sini pada tahun 2022.

Eizatul Fatanah Chik yang berusia 38 tahun itu menyatakan kisah suaminya yang terkena penyakit tersebut perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya mengambil langkah penjagaan kesihatan kendiri.

Justeru, beliau berkata, orang ramai diminta untuk mencuci tangan lebih kerap dan elakkan dari bermain dengan air banjir kerana dikhuatiri air tercemar dengan kuman tersebut terutama jika mempunyai luka atau masalah kulit.

Katanya, kuman tersebut biasa didapati berada dalam tanah, paya dan pasir.

Hantaran dimuat naik Eizatul Fatana.
Hantaran dimuat naik Eizatul Fatana.

"Suami dijangkiti sejenis kuman melioidosis jika tidak dirawat dengan segera boleh menyebabkan kematian. Kuman ini turut menyebabkan air dan nanah dalam badan selain merosakkan organ dalaman manusia.

"Punca tak dapat dikesan dari mana cuma suami biasa pergi memancing dan saya agak dari situ dia dapat kuman tersebut. Dia juga tidak membasuh tangan dengan sempurna ketika memancing dan terus merokok.

"Jadi pesan saya semoga berhati-hati. Mencuci tangan dengan betul dan lebih kerap serta memakai sarung tangan ketika berkebun atau memancing," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Ibu kepada empat anak itu berkata, suaminya dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 12 Julai 2022 susulan dijangkiti penyakit berkenaan.

Katanya, dia terlantar di hospital tersebut selama empat bulan termasuk terpaksa ditidurkan di dalam unit rawatan rapi (ICU).

Dalam pada itu, Eizatul Fatanah kini boleh menarik nafas lega apabila suaminya semakin sembuh namun perlu banyak berehat bagi memastikan kesihatan benar-benar pulih.

"Alhamdulillah syukur... dengan izin ALLAH SWT setelah lebih kurang setahun enam bulan suami saya telah kembali pulih seperti sedia kala. Masih berbaki enam bulan untuk pemantauan doktor.

"Hampir kesemua organ dalaman rosak dulu telah kembali normal semuanya dengan izin ALLAH... saya juga sangat terharu atas layanan doktor mahupun jururawat.

"Tutur bicara yang baik malah tidak putus-putus bagi kata semangat buat saya sekeluarga terutama sekali beri semangat pada suami pada ketika itu. Baik-baik belaka doktor dan jururawat hospital di Terengganu," ujarnya.