'Cadangan Koo Ham, satu lagi siri kegagalan kerajaan' - Pas

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menzahirkan rasa kesal terhadap kecenderungan berterusan pemimpin DAP yang membuat kenyataan-kenyataan mengundang polemik tidak perlu dan berpotensi mencetuskan suasana tidak harmoni dalam masyarakat.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, cadangan kontroversi Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham adalah berlebihan dan tidak perlu.

Menurutnya, kebimbangan yang ditimbulkan juga, iaitu pentingnya pandangan orang bukan Islam diambil kira agar hak dan perlindungan kepada orang bukan Islam tidak terjejas, adalah bersifat andaian semata-mata.

"Pas mendapati cadangan dan kenyataan Ngeh tersebut adalah bukan sahaja sangat lewah tapi tidak perlu, sementara kebimbangan yang ditimbulkannya itu bukan sahaja pramatang dan provokatif, malah bersifat andaian semata-mata.

"Pas turut hairan bagaimana sebagai Ahli Parlimen penyokong kerajaan, Ngeh langsung tidak peka terhadap proses dan prosedur mahu pun berhati-hati dalam kenyataannya yang cenderung menimbulkan kontroversi serta konflik.

"Ini hanya boleh ditafsirkan sebagai satu lagi siri kegagalan kerajaan dalam mengawal naratif anggotanya sendiri," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Koo Ham mencadangkan supaya kerajaan melantik pakar undang-undang dalam kalangan orang bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang ditubuhkan awal bulan lalu.

Koo Ham berkata, ia perlu setelah mendapati tiada orang bukan Islam dilantik ke dalam jawatankuasa tersebut untuk mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan undang-undang yang memberi kesan kepada kaum dan agama dibuat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Takiyuddin menambah, Pas sentiasa bersikap terbuka dan percaya semua pihak harus memberi ruang yang secukupnya kepada jawatankuasa terbabit untuk menjalankan kajian serta libat urusnya tanpa sebarang gangguan atau prasangka buruk.

Jelas beliau, keputusan kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa berkenaan adalah bagi menjunjung titah Pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI), Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Ia bagi mengkaji persoalan undang-undang yang berbangkit berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan bersabit kompetensi DUN dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Dapatan dan syor ini akan dikemukakan kepada MKI dan kemudiannya kepada Majlis Raja-Raja untuk tindakan seterusnya.

“Ia ditubuhkan bagi menasihatinya berhubung isu berkait konflik undang-undang melibatkan Syariah yang jelas hanya terpakai kepada orang Islam,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar mana-mana pihak mengelakkan daripada melakukan tindakan berterusan yang berpotensi mencetuskan polemik dan ketidakharmonian berpanjangan antara kaum dan agama dalam masyarakat.

"Kita patut insaf dan bersyukur kerana selaras dengan ajaran Islam itu sendiri, sehingga kini masyarakat majoriti di negara ini tidak pernah menimbulkan suasana konfrontasional atau dilihat mencampuri urusan mana-mana ajaran dan amalan agama lain.

"Sikap yang sama haruslah bertimbal-balik dan menjadi pegangan serta amalan semua pihak kerana tindakan sebaliknya hanya akan merosakkan keharmonian yang ada dan seterusnya menjadi bom jangka yang boleh memusnahkan semua," katanya.