Beri ruang kepada jawatankuasa teruskan tanggungjawab mereka - Syahredzan

Tangkap layar hantaran Syahredzan menerusi platform X pada Jumaat, Syahredzan
Tangkap layar hantaran Syahredzan menerusi platform X pada Jumaat, Syahredzan
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak perlu memberi ruang kepada Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah untuk meneruskan apa yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dalam merungkai isu-isu berkaitan undang-undang Islam.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, beliau percaya ahli-ahli jawatankuasa khas itu terdiri dari tokoh yang berpengalaman dan kompeten dalam bidang mereka, terutama sekali undang-undang perlembagaan.

Ujar beliau, dari aspek berkenaan, mereka juga membuat kajian secara objektif, melangkaui pertimbangan kaum dan agama mereka sendiri.

“Saya secara prinsipnya bersetuju dengan Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki iaitu tiada keperluan untuk melantik pakar bukan Muslim ke jawatankuasa khas ini.

“Penubuhan jawatankuasa ini berbangkit daripada konflik bidang kuasa di antara Persekutuan dan negeri berkenaan dengan undang-undang Syariah. Ia dimandatkan untuk mengkaji kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menggubal undang-undang Islam.

“Dari perspektif ini, pertimbangan jawatankuasa khas ini akan terhad kepada isu-isu berkaitan dengan undang-undang Syariah, yang hanya terpakai kepada mereka yang beragama Islam,” katanya dalam hantaran menerusi platform X pada Jumaat.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mencadangkan supaya pakar bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah untuk menggubal undang-undang Islam.

Koo Ham yang juga Pengerusi DAP Perak itu berkata, cadangan tersebut dikemukakan sebagai mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan undang-undang dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut Syahredzan, setakat yang dilaporkan, skop pertimbangan jawatankuasa khas itu tidak termasuk menyemak isu undang-undang berkaitan dengan hak dan kepentingan bukan Muslim.

“Di samping itu, apa-apa syor atau dapatan jawatankuasa khas ini tidak mengikat Jemaah Menteri dan saya percaya bahawa semua pandangan dan sesi libaturus yang lanjut akan dibuat sebelum apa-apa cadangan diterima dan dilaksanakan.

“Maka, tidak ada sebab untuk mengatakan bahawa pandangan atau cadangan yang dipersembahkan kepada Kerajaan akan terhad kepada suatu pihak sahaja,” menurutnya.