Koo Ham jelas langgar etika 3R - Pas Selangor

Mohamed Sukri
Mohamed Sukri
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham yang menyarankan kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam bagi membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam jelas melanggar etika 3R (agama, kaum dan raja).

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, kenyataan itu bersifat provokasi terhadap institusi agama Islam dan institusi beraja di negara ini.

"Inilah contoh bahawa DAP sangat tidak menghormati institusi beraja di dalam negara ini, bahkan mereka lebih rakus berbanding penjajah British sebelum ini.

"Tidak malukah DAP kepada penjajah British yang tidak berani campur tangan dalam soal Islam dan Melayu sewaktu menjajah Tanah Melayu dahulu, tetapi DAP nampaknya tidak segan silu mahu menguasai segalanya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohamed Sukri berkata, tindakan itu jelas tidak menghormati agama Islam seperti yang termaktub dalam peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

"Adakah ketika DAP berkuasa kini, segala tindakan dan keputusan orang Islam memerlukan persetujuan orang bukan Islam untuk dilaksanakan?" soal beliau.

Mohamed Sukri menasihatkan Koo Ham memberi tumpuan kepada institusi pendidikan yang menjadi teras perpaduan masyarakat di negara ini.

"Jangan sesekali cuba menjolok sarang tebuan. Sebelum ini isu pilihan raya PBT (pihak berkuasa tempatan), sekarang isu ini, selepas ini apa pula yang mahu mereka usik?" tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Koo Ham menyarankan kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan awal bulan ini.

Beliau menjelaskan, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.