Hamzah berhak, wajar jalin kerjasama bawah Rumah Bangsa - Muqharabbin

SHAH ALAM - Bekas Timbalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berhak dan wajar menjalinkan kerjasama di bawah kerangka Rumah Besar Bangsa seperti mana disuarakan oleh pemimpin Pas dan UMNO.
Bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, kerjasama itu bukan melibatkan soal parti, sebaliknya meneruskan kelangsungan kestabilan politik negara, kekuatan ekonomi, keamanan dan perpaduan rakyat.
"Mana-mana pihak yang tidak mahu melihat orang Melayu bersatu dalam gagasan ini demi kestabilan negara sebenarnya menolak kepentingan bangsa sendiri.
"Golongan seperti ini tidak seharusnya diberi sokongan politik oleh rakyat, khususnya orang Melayu yang mahukan kepimpinan tegas, perpaduan kukuh dan masa depan negara yang stabil," katanya dalam hantaran pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan UMNO menubuhkan sebuah jawatankuasa dirujuk Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk meneliti penyertaan semula mana-mana bekas ahli parti itu.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyertaan semula itu boleh dilakukan secara individu atau en bloc.
Pada Sabtu, Hamzah memberi bayangan mengenai kemungkinan pembentukan sebuah ‘rumah baharu’ selepas ini.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, istilah rumah baharu itu tidak semestinya merujuk kepada penubuhan parti baharu, sebaliknya mungkin menyertai parti lama sama ada mengambil alih parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), kembali menganggotai UMNO ataupun menyertai Pas.
Sementara itu, ujar Muhamad Muqharabbin, gagasan itu mencerminkan keperluan mendesak untuk menyatukan orang Melayu di Malaysia demi memastikan kestabilan negara terus terpelihara.
Menurutnya, catatan sejarah juga jelas membuktikan bahawa kekuatan sesebuah negara bermula daripada kesatuan bangsanya.
"Apabila bangsa berpecah, negara akan lemah dari sudut politik, ekonomi dan keselamatan. Seorang pemimpin yang benar-benar bertanggungjawab mesti mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan bangsa mengatasi kepentingan politik sempit.
"Mana-mana pihak yang menolak usaha penyatuan ini perlu dilihat sebagai tidak serius dalam memperjuangkan masa depan negara, malah berisiko melemahkan kekuatan politik orang Melayu sendiri," ujarnya.
Ringkasan AI
- Hamzah Zainudin berhak menjalinkan kerjasama dalam kerangka Rumah Besar Bangsa seperti yang disuarakan oleh pemimpin Pas dan UMNO
- Kerjasama ini bertujuan meneruskan kelangsungan kestabilan politik, ekonomi, keamanan, dan perpaduan rakyat Malaysia
- Mana-mana pihak yang tidak mahu melihat orang Melayu bersatu untuk kestabilan negara dilihat sebagai menolak kepentingan bangsa
- UMNO telah menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa untuk meneliti penyertaan semula bekas ahli parti
- Gagasan penyatuan orang Melayu dianggap mendesak untuk memastikan kestabilan politik, ekonomi, dan keselamatan negara terpelihara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

