Selepas Wan Saiful, Saifuddin pula tarik balik rayuan pemecatan Bersatu

SHAH ALAM - Selepas bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bertindak menarik balik rayuan pemecatan yang dikenakan terhadapnya pagi tadi, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut mengambil langkah sama berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Bersatu itu tidak menyatakan penjelasan berhubung tindakan tersebut.
"Dengan penarikan ini, saya memohon agar Lembaga Rayuan mengambil maklum dan seterusnya menghentikan segala prosiding atau pertimbangan lanjut berkaitan rayuan saya," katanya menerusi sepucuk surat yang dialamatkan kepada Pengerusi Lembaga Rayuan Bersatu, pada Isnin.
Pada 6 Januari lalu, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu dilapor mengesahkan menerima surat daripada Lembaga Tatatertib Bersatu berhubung pemecatan beliau susulan melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti yang tidak memperincikan kesalahan khusus dilakukannya.
Pada 27 Oktober lalu, Saifuddin dan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli digugurkan jawatan masing-masing sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang dan Perlis.
Jawatan pengerusi bagi kedua-dua negeri itu kini disandang oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN Pahang), manakala Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN Perlis).
Ringkasan AI
- Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Datuk Seri Saifuddin Abdullah menarik balik rayuan pemecatan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
- Saifuddin tidak memberi penjelasan mengenai tindakan menarik balik rayuan tersebut
- Surat penarikan rayuan ditujukan kepada Pengerusi Lembaga Rayuan Bersatu
- Pemecatan Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkait dengan pelanggaran Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti
- Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menggantikan jawatan pengerusi PN di Pahang dan Perlis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

