Cadangan Koo Ham satu kekhilafan - Anthony Loke

Anthony Loke - Foto Bernama
Anthony Loke - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan kenyataan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang mencadangkan pelantikan pakar perundangan bukan Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam, adalah satu kekhilafan mengenai punca kuasa penubuhan jawatankuasa khas itu.

Menyedari cadangan itu akan menimbulkan polemik kononnya DAP cuba mencampuri urusan agama Islam, Anthony menegaskan, perkara itu tidak benar sama sekali, sebaliknya DAP komited terhadap prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain dan keharmonian antara agama serta kaum.

"Jawatankuasa itu ditubuhkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan bertujuan menasihati majlis berkenaan dengan cadangan-cadangan memperkasakan bidang tugas Mahkamah Syariah.

"Perlu ditegaskan bahawa penubuhan Jawatankuasa Khas ini bukan ditentukan oleh Jemaah Menteri, tetapi oleh MKI dan mereka melapor secara langsung kepada MKI.

"DAP menghormati kebijaksanaan Tuanku Sultan Selangor dalam membuat sebarang keputusan mengenai urusan MKI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebarang cadangan oleh Jawatankuasa Khas berkenaan yang melibatkan sebarang pindaan undang-undang, perlu dibawa ke Jemaah Menteri untuk proses penggubalan rang undang-undang seperti biasa.

Sehubungan itu, Anthony berkata, masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang dalam perkara itu kerana sebarang pindaan undang-undang yang melibatkan hak bukan Islam perlu diperhalusi serta diputuskan oleh Jemaah Menteri sebelum dibawa ke Parlimen.

Semalam, media melaporkan Koo Ham mencadangkan kerajaan melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan awal bulan ini, bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menempelak cadangan berkenaan dan menegaskan tiada keperluan untuk pakar bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menerusi catatan di aplikasi X hari ini senada dengan Asyraf Wajdi, dan percaya ahli Jawatankuasa Khas itu berpengalaman dan kompeten dalam bidang mereka, terutama undang-undang perlembagaan, dan seterusnya akan membuat kajian secara objektif, melangkaui pertimbangan kaum dan agama mereka sendiri.

"Di samping itu, apa-apa syor atau dapatan Jawatankuasa khas ini tidak mengikat Jemaah Menteri dan saya percaya bahawa semua pandangan dan sesi libat urus yang lanjut akan dibuat sebelum apa-apa cadangan diterima dan dilaksanakan.

"Maka, tidak ada sebab untuk mengatakan bahawa pandangan atau cadangan yang dipersembahkan kepada Kerajaan akan terhad kepada suatu pihak sahaja,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak wajar memberi ruang kepada Jawatankuasa Khas itu untuk meneruskan apa yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka sebagai permulaan untuk merungkai isu yang harus diselesaikan dengan tuntas. - Bernama