'Cadangan Koo Ham tak berasas sama sekali' - Mohd Na'im

Mohd Na'im.
Mohd Na'im.
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan dikemukakan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkaitan pelantikan pakar bukan beragama Islam dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam dilihat tidak berasas sama sekali.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, ia kerana perkara berkaitan pentadbiran hal ehwal Islam termasuk isu-isu dasar perundangan dan kehakiman syariah perlu dirujuk Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) serta pihak berkuasa negeri terlebih dahulu.

Menurutnya, jawatankuasa khas itu ditubuhkan bertujuan mengkaji isu berkenaan dengan kompetensi DUN dan bidang kuasa mahkamah syariah sepertimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri serta Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan sentiasa merujuk kepada MKI yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Mesyuarat pertama jawatankuasa khas ini berlangsung 5 Disember lalu, dipengerusikan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Datuk Seri Zaki Tun Azmi dan dianggotai bekas hakim Mahkamah Persekutuan, wakil daripada Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Peguam Negara (AGC), Mahkamah Syariah, ahli akademik serta pengamal undang-undang.

“Kesemua anggota yang dilantik mempunyai kepakaran masing-masing bagi memastikan jalan penyelesaian terbaik demi memartabatkan dan memperkasa perundangan Syariah serta sistem kehakiman di negara ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas ahli Parlimen Beruas itu yang terus-menerus campur tangan dalam urusan berkaitan hal ehwal agama Islam.

Mohd Na'im turut menambah, segala hasil kajian, pandangan dan syor yang dicadangkan oleh jawatankuasa khas tersebut akan dibentangkan dalam MKI serta Majlis Raja-Raja.

Artikel Berkaitan:

Justeru, orang ramai diingatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengundang kegelisahan awam.

“Semua pihak perlu memberikan sepenuh keyakinan dan ruang kepada jawatankuasa khas untuk menjalankan peranannya dengan penuh profesional serta berkesan,” ujarnya.