'Dah lama tahu cerita, sebab itu saya keluar awal' - MP Bukit Gantang

 Syed Abu Hussin
Syed Abu Hussin
A
A
A

BUKIT GANTANG - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menegaskan keputusan beliau meninggalkan parti lebih awal sebelum ini bukan tindakan terburu-buru, sebaliknya dibuat selepas melihat tanda-tanda perpecahan dalaman yang semakin meruncing.

Menurut beliau, konflik kepimpinan dan perebutan kuasa dalam parti bukan perkara baharu, malah sudah lama dapat dihidu sebelum tindakan pemecatan 17 pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) baru-baru ini.

"Saya dah tahu cerita ni lama dah dan saya tak mahu (setuju). Sebab tu saya keluar awal-awal," katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Skim Usahawan Bangkit Parlimen Bukit Gantang di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang di sini pada Isnin.

Syed Abu Hussin (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Program Skim Usahawan Bangkit Parlimen Bukit Gantang pada Isnin.
Syed Abu Hussin (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Program Skim Usahawan Bangkit Parlimen Bukit Gantang pada Isnin.

Pada 2024, Syed Abu Hussin yang sebelum itu bertanding pilihan raya atas tiket Perikatan Nasional (PN) telah dipecat daripada keahlian Bersatu selepas namanya telah dikeluarkan daripada sistem keahlian parti.

Mengulas lanjut, beliau yang kini bertindak sebagai ahli Parlimen bebas berkata, pendekatan tanpa parti lebih sesuai dalam situasi politik semasa yang semakin memualkan rakyat.

"Saya bebas. Bebas tak berparti lagi bagus. Sekarang orang dah meluat berparti. Bila berparti, ada perebutan, ada cabaran sesama sendiri.

"Bila rakyat dah pilih kita sebagai wakil, di Dewan Rakyat nanti kita pilih siapa yang bagus untuk dilantik. Tak payah parti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyindir amalan pemecatan dalam parti politik yang menurutnya bukan hanya berlaku dalam Bersatu, tetapi juga parti-parti lain.

"Semua presiden buat macam itu sekarang. Bukan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) sahaja. (Datuk Seri Dr) Ahmad Zahid (Hamidi) pun pecat orang. Apa masalahnya?," katanya merujuk kepada Presiden Bersatu dan Presiden UMNO.

Dalam pada itu, beliau secara terbuka menggesa ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong Perdana Menteri dan kerajaan sedia ada demi memastikan kebajikan rakyat di kawasan masing-masing terbela.

Menurutnya, tindakan menentang kerajaan tanpa hasil hanya merugikan rakyat.

"Saya nak sokong Perdana Menteri sebab boleh bantu rakyat saya. Sokonglah Perdana Menteri, bagi peruntukan untuk bangunkan kawasan.

"Kita buat perkhidmatan. ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) bantu, STeP (Sekretariat Usahawan Negeri Perak) bantu, semua agensi kerajaan bantu sebab kita sokong Perdana Menteri," katanya.

Pada 13 Februari lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat 17 ahlinya termasuk empat ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Mereka yang dipecat ialah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang merupakan Ahli Parlimen Larut; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Dua ADUN yang dipecat ialah Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik, Perak) dan Dr Mohd Yadzil Yaakub (Bemban, Melaka) yang juga Ketua Pembangkang negeri itu.

Ringkasan AI

  • Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz meninggalkan parti kerana perpecahan dalaman
  • Konflik kepimpinan dan perebutan kuasa dalam parti sudah lama berlaku
  • Syed Abu Hussin kini bertindak sebagai ahli Parlimen bebas dan melihat kebebasan dari parti sebagai sesuatu yang positif
  • Menyindir amalan pemecatan dalam parti politik sebagai sesuatu yang berlaku secara meluas
  • Menggesa ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong Perdana Menteri demi kebajikan rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!