Cadangan Koo Ham mahu Majlis Peguam terlibat dipersoal

Mohd Puad Zarkashi
Mohd Puad Zarkashi
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO mempersoalkan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang mahu Majlis Peguam (Bar Council) menjadi ahli Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Majlis Peguam itu merupakan badan yang berat sebelah dan suka memihak.

"'Bar Council' berat sebelah dan suka memihak. Badan itu mahu cabar keputusan pengguguran kes Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tetapi tidak pula cabar kes lain yang digugurkan walaupun ada prima facie.

"Seolah-olah pendirian badan itu ialah asalkan bukan UMNO. Badan peguam itu kekal senyap isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tan Sri Tommy Thomas walaupun memoir Tommy Thomas banyak kontroversi," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Menurut Mohd Puad, undang-undang Islam hanya melibatkan masyarakat beragama Islam.

"Jika bimbang berlaku pertindihan boleh dipertimbangkan seorang pakar perundangan bukan Islam sebagai ahli tetapi bukan untuk campur tangan.

"Asalkan bukan 'Bar Council'," katanya.

Media melaporkan kerajaan disaran melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Artikel Berkaitan:

Koo Ham berkata, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Beliau juga mengingatkan Perlembagaan dibentuk dengan mengambil kira kepentingan semua golongan, maka sebarang perubahan yang memberi kesan kepada kaum dan agama mesti dibincangkan secara menyeluruh untuk mengelakkan konflik.

Pada 5 Disember lalu, Bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas berkenaan yang turut dianggotai 10 individu lain.

Antara yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas itu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohd Zawawi Salleh; Anggota Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, anggota Jawatankuasa Khas itu mempunyai kredibiliti serta kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang perundangan.

Tambahnya, Jawatankuasa Khas itu bertanggungjawab untuk mengkaji isu-isu yang melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri khususnya berkaitan dengan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah syariah sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!