Hanya Bersatu Dungun tolak Muhyiddin di Terengganu - Razali

Razali (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Bersatu Terengganu di Ibu Pejabat Bersatu Terengganu di Kuala Terengganu pada Isnin.
Razali (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Bersatu Terengganu di Ibu Pejabat Bersatu Terengganu di Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

​KUALA TERENGGANU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu mengesahkan semua bahagian di negeri itu tetap menyokong Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin kecuali satu bahagian di Dungun.

​Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, tindakan tegas telah diambil terhadap Ketua Bahagian Dungun yang dipecat kerana didapati melanggar peraturan parti dengan mengadakan 'roadshow' tanpa kelulusan.

​"Terengganu ini boleh dikatakan semua bahagian masih lagi bersama dengan Presiden dan parti, kecuali satu bahagian sahaja.

​"Ketua bahagian tersebut telah dipecat kerana bercanggah dengan peraturan dan kita sedang memantau keadaan di sana, namun setakat ini segalanya dilihat tenang," katanya.

​Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Bersatu Terengganu di sini, pada Isnin.

​Mengulas mengenai kedudukan Bersatu Bahagian Hulu Terengganu yang dikaitkan dengan Datuk Rosol Wahid, Razali menjelaskan meskipun terdapat kecenderungan menyokong pihak lain, namun ia tidak menjejaskan kestabilan parti.

​"Bagi Hulu Terengganu, beliau (Datuk Rosol) menyatakan sokongan kepada pihak Datuk Hamzah (Zainudin), tetapi ia tidak bersifat agresif dan tidak mengeruhkan keadaan.

​"Jadi setakat ini tiada apa-apa tindakan diambil dan di peringkat akar umbi, ahli masih kekal setia bersama Bersatu," jelas beliau.

​Dalam pada itu, Razali menyifatkan krisis yang melanda kepimpinan pusat ketika ini hanyalah melibatkan perebutan kuasa dalaman dan bukannya satu bentuk pengkhianatan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

​Tegas beliau, terdapat cubaan untuk merebut jawatan nombor satu parti dengan cara yang luar biasa dan tidak mengikut perlembagaan parti.

​"Pandangan saya, kita tidak perlu terlalu mengharap kepada bekas pemimpin yang 'hebat-hebat' ini kerana akhirnya berlaku perebutan kuasa yang tidak diinginkan.

​"Namun, saya melihat ahli semakin bertambah walaupun parti berdepan kemelut. Sebagai contoh, di Terengganu sahaja bagi bulan Januari dan Februari, kita menerima 290 ahli baharu," ujarnya lagi.

Katanya, bagi memastikan ahli memahami situasi sebenar, Bersatu Terengganu akan mengadakan siri penerangan dan jelajah bagi memperincikan kemelut yang berlaku.

​"Mungkin dalam bulan puasa ini kita akan adakan beberapa siri jelajah. Kita mahu bergerak ke hadapan dan tidak lagi memikirkan pihak yang telah dipecat kerana mereka tidak lagi mempunyai kedudukan untuk bercakap mengenai parti.

​"Matlamat kita adalah untuk memerintah negara dan berkhidmat kepada rakyat, bukannya memecah-belahkan parti demi kepentingan peribadi," katanya.

Sebelum ini, krisis dalaman parti itu memuncak apabila 17 ahli parti dipecat oleh Lembaga Disiplin melibatkan termasuk empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Jumaat lalu, Bersatu dilaporkan memecat 17 ahlinya termasuk beberapa pemimpin Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti merangkumi empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Selain Hamzah yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, turut dipecat ialah Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad, Ahli Parlimen Padang Rengas Kapten Azahari Hasan dan Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob.

ADUN yang dipecat pula ialah wakil Sungai Manik yang juga Ahli MPT Datuk Zainol Fadzi Paharudin, wakil Bemban dan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub serta Setiausaha Bersatu Sabah Yunus Nurdin yang juga Ketua Bersatu Libaran.

Keahlian mereka ditamatkan kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu namun mereka berhak mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat berkenaan dikemukakan.

 

Ringkasan AI

  • Bersatu Terengganu tetap menyokong Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin kecuali satu bahagian di Dungun
  • Ketua Bahagian Dungun dipecat kerana mengadakan 'roadshow' tanpa kelulusan
  • Razali Idris menyatakan tindakan tersebut tidak mengganggu kestabilan parti
  • Krisis kepimpinan dianggap sebagai perebutan kuasa dalaman, bukan pengkhianatan kepada rakyat
  • Bersatu Terengganu akan mengadakan siri penerangan dan jelajah untuk membincangkan krisis dalaman

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!