'Pindah penduduk lebih wajar berbanding bina ban' - Dzulkefly

Dzulkefly. Laporan Sinar Harian pada 28 November lalu.
Dzulkefly. Laporan Sinar Harian pada 28 November lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kerajaan Selangor diminta mengambil langkah intervensi memindahkan penduduk di Jalan Rantau Panjang Kanan, Bestari Jaya yang terdedah kepada risiko banjir.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, penduduk yang tinggal di situ terdedah kepada bahaya berikutan kediaman mereka hanya kira-kira 10 meter dari tebing Sungai Selangor.

Menurut beliau, isu kekerapan banjir yang sering dihadapi penduduk kampung itu telah dibawa kepada kerajaan negeri sejak pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Pada saya penyelesaian mampan adalah dengan memindahkan penduduk di kawasan lain yang lebih selamat dan tidak terdedah kepada banjir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Cawangan Segi Fresh ke-100 di Segi Fresh Ijok di sini pada Sabtu.

Dzulkefly memberitahu, meskipun ada cadangan pembinaan ban di sepanjang laluan hadapan rumah penduduk, namun ia bukanlah penyelesaian secara tuntas mengenai masalah itu.

Dzulkefly (dua dari kanan) meninjau barangan yang dijual selepas Majlis Perasmian Cawangan Segi Fresh ke-100 di Ijok, Kuala Selangor pada Sabtu.
Dzulkefly (dua dari kanan) meninjau barangan yang dijual selepas Majlis Perasmian Cawangan Segi Fresh ke-100 di Ijok, Kuala Selangor pada Sabtu.

"Kalau kita melihat keadaan (rumah penduduk) di sana, kita dapati ia sukar dilaksanakan termasuklah pembinaan ban kerana paras air tinggi setiap kali (fenomena) air pasang besar.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimana tinggi sekali pun ban yang dibina itu nanti, air boleh melimpah ke rumah penduduk sekali gus mengakibatkan banjir," jelas beliau.

Menurut beliau, kerajaan negeri sudah mengenal pasti tanah kerajaan seluas 97.2 hektar di Masjid Rantau Panjang bagi memindahkan penduduk terlibat.

Justeru Dzulkefly memberitahu, kerajaan pimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diharap memberi pertimbangan bagi memindahkan penduduk terlibat.

Jelas beliau, pada masa ini terdapat kira-kira 15 rumah penduduk yang telah dikenal pasti di sepanjang tebing Sungai Selangor.

"Pada saya kerajaan negeri sewajarnya dapat memindahkan penduduk berbanding membina ban di kawasan sedia ada yang akhirnya tidak dapat mengatasi masalah banjir di kawasan ini," jelas beliau.

Sinar Harian pada 28 November lalu melaporkan, penduduk di Jalan Rantau Panjang Kanan, Bestari Jaya merayu kerajaan mempercepat projek menaik taraf ban di kampung itu bagi mengelakkan kejadian banjir terus berulang.

Rata-rata penduduk berharap pembinaan ban itu perlu disegerakan terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini lebih-lebih lagi jarak antara rumah mereka dan Sungai Selangor dianggarkan kira-kira 10 meter yang terdedah kepada risiko banjir.

Dalam perkembangan sama, katanya, pembukaan lebih banyak rangkaian Segi Fresh di seluruh negara memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan segar pada harga lebih murah.

Dzulkefly memberitahu, Segi Fresh sebuah rangkaian pasar raya sentiasa memahami kehendak Kerajaan Madani bagi menurunkan harga secara sukarela dan mampu milik.

"Saya yakin Segi Fresh dapat memastikan rantaian bekalan seperti hasil laut serta tani dapat dipasarkan di pasar raya ini serta mampu menurunkan harga barang.

"Jika Segi Fresh diambil contoh dan diteladani (pasar raya) yang lain, harga atau kos barangan tinggi ini akan dapat kita turunkan," tambahnya.