'Jarak hanya 10 meter dengan sungai'

Penduduk rayu kerajaan mempercepat pembinaan ban di kampung itu bagi mengelakkan kejadian banjir. Gambar kecil: Sulaiman, Jumaayah
Penduduk rayu kerajaan mempercepat pembinaan ban di kampung itu bagi mengelakkan kejadian banjir. Gambar kecil: Sulaiman, Jumaayah
A
A
A

KUALA SELANGOR - Penduduk di Jalan Rantau Panjang Kanan, Bestari Jaya di sini merayu kerajaan mempercepat projek menaik taraf ban di kampung itu bagi mengelakkan kejadian banjir terus berulang.

Seorang penduduk, Jumaayah Mustapah, 49, berkata, pembinaan ban itu perlu disegerakan terutama dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Menurutnya, jarak antara Sungai Selangor ke rumah penduduk dianggarkan kira-kira 10 meter dan ia berisiko tinggi sekiranya berlakunya banjir.

"Kami berharap kerajaan dapat membina ban atau penahan banjir lebih kukuh bagi mengelakkan banjir daripada terus berulang," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Jumaayah berkata, kejadian banjir hingga air melimpah masuk ke rumah perkara biasa kepada penduduk kampung itu sejak puluhan tahun.

"Tahun lalu sahaja, rumah kami sudah dinaiki banjir tiga kali dan tahun ini pertama kali berlaku pada Jumaat lalu," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Sulaiman Mohd Taib, 46, berkata, terdapat kira-kira 16 rumah penduduk berhampiran tebing Sungai Selangor.

Jelasnya, ketiadaan ban atau penahan banjir juga dibimbangi menyebabkan berlakunya hakisan Sungai Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Jika keadaan itu dibiarkan berlarutan, kami bimbang ia mengundang risiko bahaya kepada rumah penduduk berdekatan," tambahnya.

Menurut Sulaiman, banjir bukan sahaja menyebabkan kemusnahan harta benda, malah menyebabkan jalan masuk ke kampung berisiko mengalami kerosakan.

"Rumah kami berhampiran sungai dan minta kerajaan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan permasalahan dihadapi penduduk," katanya.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan mengambil tindakan segera bagi menangani kejadian banjir di Kampung Rantau Panjang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, antara tindakan awal termasuklah membina ban mini di tempat limpahan air.

Pada Jumaat lalu, seramai 46 mangsa daripada 15 keluarga di Kampung Rantau Panjang terjejas dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Kampung Rantau Panjang.

Rata-rata penduduk terkejut hujan berterusan lebih tujuh jam menyebabkan rumah mereka dinaiki air dengan cepat.