Kejohanan Pickleball Media Bank Rakyat eratkan kerjasama bersama media

SHAH ALAM – Bank Rakyat menganjurkan Kejohanan Pickleball Media Bank Rakyat 2026 sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik bersama rakan media, di samping mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan pengamal media.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasinya, Nizam Sani berkata, kejohanan yang berlangsung di The Hood, Chow Kit itu menghimpunkan 64 peserta daripada pelbagai organisasi media arus perdana, penyiaran dan digital dalam suasana santai namun kompetitif.
“Media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berintegriti kepada masyarakat.
“Melalui pendekatan libat urus yang lebih santai seperti ini, Bank Rakyat bukan sahaja mengeratkan hubungan kerjasama, malah mewujudkan ruang interaksi yang lebih terbuka dan membina,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kejohanan tersebut menyaksikan Hanif Miswan dan Fathy Azlan dari Astro Arena muncul sebagai johan dan membawa pulang wang tunai RM1,000, manakala tempat kedua dimenangi Hazwan Alias dan Syaheer Shahruddin dari TV3 dengan hadiah RM800.

Tempat ketiga pula menjadi milik Johan dan Ozlynn yang mewakili Hot FM selepas menerima wang tunai RM500.
Antara organisasi media yang mengambil bahagian termasuk TV3, Berita Harian, New Straits Times, TV9, Harian Metro, Suria FM, Utusan Malaysia, Kosmo!, Bernama, RTM, Astro Arena, Free Malaysia Today, Sinar Harian, Influasia serta Siakap Keli.
Menurut Nizam, pemilihan sukan pickleball yang semakin popular membolehkan penyertaan lebih inklusif dan dinamik.
“Ia sekali gus memupuk semangat kesukanan serta memperkukuh kerjasama dalam suasana yang positif.
“Pada masa hadapan, Bank Rakyat akan terus melaksanakan inisiatif libat urus strategik bersama media melalui pendekatan yang relevan dan berimpak tinggi,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Bank Rakyat menganjurkan Kejohanan Pickleball Media Bank Rakyat 2026 untuk memperkukuh hubungan dengan rakan media dan mempromosikan gaya hidup sihat
- Kejohanan ini diadakan di The Hood, Chow Kit dengan penyertaan 64 peserta dari pelbagai organisasi media
- Hanif Miswan dan Fathy Azlan dari Astro Arena dinobat sebagai juara, memenangi wang tunai RM1,000
- Pemilihan sukan pickleball untuk kejohanan ini bertujuan untuk penyertaan yang lebih inklusif dan dinamik
- Bank Rakyat berhasrat meneruskan inisiatif strategik bersama media melalui pendekatan yang relevan dan mempunyai impak tinggi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
