Lama menetap di Malaysia, lelaki Nigeria tidak fasih bahasa ibunda

Tangkap layar video perkongsian Mubarak pada Selasa.
Tangkap layar video perkongsian Mubarak pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM – Seorang lelaki berkongsi pengalaman disoal siasat oleh pegawai lapangan terbang di Nigeria gara-gara tidak mampu bertutur dalam bahasa ibundanya meskipun memiliki pasport negara berkenaan.

Pengalaman itu dikongsikan oleh pempengaruh, Mubarak Olohuntogun Mohammed Muneer’deen Olodo Al-Shafi’i, 21 yang telah menetap di Terengganu hampir 20 tahun.

Mubarak berkata, kejadian itu berlaku ketika dia bersama kakaknya sedang beratur untuk pemeriksaan pasport sebelum seorang pegawai bertugas mengemukakan soalan dalam bahasa Nigeria.

“Saya tidak memahami soalan tersebut lalu meminta pegawai berkenaan menjelaskannya dalam bahasa Inggeris. Ketika itu, dia kelihatan keliru kerana menyangka saya boleh bertutur bahasa Nigeria.

“Dari situ, dia mula menyoal siasat termasuk bertanya berapa lama saya berada di luar negara dan bagaimana saya boleh memiliki pasport Nigeria,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Ujar Mubarak, proses soal siasat itu berlangsung dalam suasana santai dan tidak terlalu serius, malah pegawai berkenaan tidak menunjukkan sebarang reaksi marah.

“Ada ketika dia (pegawai) dan rakannya cuba menguji saya dengan mengemukakan beberapa soalan dalam bahasa Nigeria, namun saya tetap tidak memahaminya.

“Dia hanya ketawa seperti biasa dan sempat menasihatkan saya supaya mempelajari bahasa Nigeria selepas ini kerana ia merupakan bahasa ibunda saya,” ujarnya.

Ujar Mubarak yang kini sedang melanjutkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini, keadaan itu berlaku kerana dia tidak membesar di Nigeria dan jarang menggunakan bahasa ibunda dalam kehidupan seharian sejak kecil.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia dilahirkan di Mesir ketika bapanya melanjutkan pengajian sebelum keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur selama sembilan tahun dan beralih ke Terengganu apabila bapanya mendapat pekerjaan sebagai pensyarah kanan di sebuah universiti swasta.

“Sejak kecil saya membesar di luar Nigeria. Bahasa yang digunakan setiap hari adalah bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, jadi bahasa ibunda tidak pernah menjadi bahasa utama saya.

“Saya masih boleh memahami sedikit apa yang diperkatakan, tetapi untuk bertutur dengan lancar memang agak sukar,” katanya.

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki disoal siasat di lapangan terbang Nigeria kerana tidak fasih berbahasa ibunda
  • Pengalaman tersebut dikongsi oleh Mubarak Olohuntogun, warga Nigeria yang telah menetap di Terengganu selama hampir 20 tahun
  • Soal siasat berlaku semasa pemeriksaan pasport dan disebabkan Mubarak meminta pertanyaan diulang dalam bahasa Inggeris
  • Pegawai lapangan terbang itu dan rakannya cuba menguji Mubarak dengan beberapa soalan dalam bahasa Nigeria namun dia tidak memahaminya
  • Mubarak dilahirkan di Mesir dan membesar di luar Nigeria, menggunakan bahasa Inggeris dan Melayu sebagai bahasa seharian, menyebabkan dia sukar bertutur bahasa ibundanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!