Fikiran melampau bayangkan wanita boleh kahwin dua suami

- Gambar hiasan/Foto 123rf
- Gambar hiasan/Foto 123rf
A
A
A

TERKEJUT Merak Jalanan lihat satu gambar ilustrasi seorang wanita bersama suami pertama dan kedua di atas pelamin yang dikongsikan di media sosial baru-baru ini.

Lakaran menggunakan kecerdasan buatan (AI) itu menunjukkan wanita berkenaan bertudung dan mengenakan pakaian pengantin Melayu moden.

Sudah pasti ia mahu menggambarkan perkahwinan orang Melayu beragama Islam dengan tulisan 'katakanlah perempuan boleh poligami'.

Gambar tersebut dimuat naik individu dipercayai wanita Melayu-Islam dan Merak Jalanan yakin ia sebagai tindak balas berhubung isu yang masih hangat diperkatakan ketika ini.

Majoriti wanita marah dan tidak berpuas hati apabila seorang pempengaruh berkahwin lagi ketika isteri pertama sedang sarat mengandung.

Meskipun tidak bersetuju dengan tindakan pempengaruh itu namun membayangkan wanita berpoligami adalah satu perbuatan dan pemikiran melampau.

Bukan sahaja wanita, malah orang lelaki pun tidak boleh berimiginasi bermadu dengan berkongsi seorang isteri kerana ia jelas bertentangan dengan hukum Islam.

Komen-komen netizen di gambar tersebut juga seakan mempersendakan hukum apabila membayangkan beberapa situasi menggembirakan jika bersuami dua.

Artikel Berkaitan:

Antara komen mereka ialah 'asyik laki saja perempuan pun nak juga' dan 'kalau boleh nak cukup empat kuota senang' serta 'syok tak terkata suami pertama tolongan urus kenduri isteri nak nikah suami kedua'.

Tidak pasti sama ada mereka benar-benar bermaksud untuk berfikir sedemikian atau sekadar komen bergurau bagi melepaskan kemarahan.

Jika bergurau, sebaiknya perkara seperti ini tidak dijadikan bahan melawak kerana ia melibatkan sensitiviti agama dan boleh mencetuskan kegusaran awam.

Bagi umat Islam pula, kita dilarang menjadikan hukum agama sebagai satu bahan gurauan. Setiap hukum ALLAH SWT mempunyai hikmah dan rahmat-Nya.

Selain itu di media sosial tular trend rakaman video gurauan wanita tenung bukan mahram bagi membuatkan lelaki berkenaan tersipu-sipu.

Tidak wajar bergurau sedemikian kerana seorang wanita perlu memelihara kemuliaan diri dengan sifat malu yang tinggi.