Hati-hati dengan gurauan ‘katakanlah perempuan boleh poligami’

WALAUPUN bergurau pada asalnya dibenarkan, tetapi ia boleh menjadi haram sekiranya mengandungi unsur seperti mempermainkan agama Islam. Misalnya ungkapan 'katakanlah perempuan boleh poligami'.
WALAUPUN bergurau pada asalnya dibenarkan, tetapi ia boleh menjadi haram sekiranya mengandungi unsur seperti mempermainkan agama Islam. Misalnya ungkapan 'katakanlah perempuan boleh poligami'.
A
A
A

SEJAK kebelakangan ini, isu tentang perkahwinan dan poligami menjadi topik bualan hangat di media sosial dan sesama kenalan.

Walau apa jua komentar dan reaksi yang dipamerkan, usahlah sesekali mempersoalkan tentang hukum ALLAH SWT serta menjadikannya sebagai bahan gurauan.

Itulah yang berlaku baru-baru ini apabila ada warga siber yang meninggalkan komen berbunyi ‘kan seronok kalau perempuan pun boleh poligami’, ‘cuba kalau wanita kahwin empat’ dan sebagainya.

Dalam hal itu, pendakwah Ustazah Asmak Husin mengingatkan agar kita tidak menjadikannya sebagai bahan gurauan.

USTAZAH ASMAK
USTAZAH ASMAK

“Walaupun perkara ini nampak sekadar gurauan untuk menyenangkan hati wanita, tetapi halal tetap halal dan haram tetap haram.

“Ingatlah, bergurau untuk perkara yang haram pun tidak boleh dilakukan. Contohnya ‘bayangkan kalau arak dihalalkan minum’, ‘bayangkan kalau zina dibenarkan’ atau ‘bayangkan kalau babi halal makan’,” katanya sebagaimana dikongsikan menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Artikel Berkaitan:

Walaupun bergurau pada asalnya dibenarkan, tetapi Ustazah Asmak mengingatkan, ia boleh menjadi haram sekiranya mengandungi unsur seperti mempermainkan agama Islam.

“Tidak kiralah sama ada dari sudut kepercayaan, syiar ataupun amalan, sebagaimana yang disebut dalam Muzakarah Fatwa Negeri Perlis ke-53.

“Melihat kepada fatwa berkenaan, berhati-hatilah apabila bergurau kerana dibimbangi menghampiri yang haram,” katanya.

Sebaiknya, penceramah itu menyarankan agar masyarakat menjadi ‘check and balance’ (semak dan imbang) supaya perkara tersebut tidak berulang.

WALAUPUN kita beremosi terhadap sesuatu isu, usah sampai melawan wahyu Ilahi.
WALAUPUN kita beremosi terhadap sesuatu isu, usah sampai melawan wahyu Ilahi.

Senada dengan Ustazah Asmak ialah pengguna akaun platform X, Yazid Hamka.

Beliau yang berkelulusan dalam bidang al-Quran dan as-Sunnah serta banyak berkongsikan tentang perihal Islam serta hukum-hakam agama di media sosialnya menjelaskan, haram hukumnya menyebut ungkapan sebegitu seperti ‘Kan best kalau perempuan pun boleh poligami’.

“Dalam kita beremosi, jangan sampai melawan wahyu Ilahi. Betul, mungkin geram dengan sebahagian orang yang berpoligami, tapi jangan sampai keluar kenyataan begini.

“(Ia) sama seperti tiba-tiba kita kata ‘Kan best kalau boleh berzina dan makan babi’. Haram hukumnya sebut begini,” coretnya.