Jangan biar diri jadi 'beg tinju' suami curang

No Image Caption
A
A
A

KISAH kontroversi seorang pempengaruh wanita dipercayai dipukul suami curang menjadi perhatian ramai sejak awal minggu ini.

Dimadukan ketika hamil, pasangan romantik yang acap kali berkongsi tip kebahagiaan rumah tangga mengejutkan satu Malaysia.

Sifat penyayang selama ini barangkali ‘wayang’ semata-mata.

Tidak hanya emosi disakiti, tular laporan perubatan bukti kekerasan dilakukan si suami mengakibatkan kecederaan.

Mungkin ada benar pendapat mengatakan panas baran adalah sifat diwarisi susulan pengalaman pada masa lalu.

Namun penulis percaya, memukul isteri bukan sifat semula jadi. Ia adalah kegagalan mengawal amarah.

Biar apa pun sebabnya, kaum Hawa berhentilah menjadi pemandiri homisid tanpa rela.

Perkahwinan bukan penjara kehidupan, usah berserah kepada suami secara membuta tuli. Tidak perlu terlalu naif, apalagi menjadi ‘beg tinju’ si lelaki dengan apa juga alasan sekali pun.

Artikel Berkaitan:

Usah gunakan asbab sayang untuk tidak mahu berganjak. Sikap sebegitu boleh membuatkan sang suami semakin menjadi-jadi.

Biarpun luka sembuh meninggalkan parut, kata-kata nista yang dilemparkan meredam jiwa dan mewujudkan penderaan emosi.

Keganasan rumah tangga bukan perkara baharu. Di seluruh dunia, dilaporkan seramai 243 juta wanita berusia 15 hingga 49 tahun telah menjadi mangsa kekerasan oleh pasangan masing-masing.

Peningkatan kes keganasan rumah tangga memuncak semasa tempoh pandemik lalu.

Majoriti pelaku adalah suami, bekas suami atau pasangan intim sendiri.

Paling menyedihkan, menurut Pegawai Psikologi Kanan, Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mejar Bersekutu (PA) Kasturi Bai, mangsa cenderung berasa kurang harga diri dan keyakinan, gangguan mental seperti malu, rasa bersalah, ketakutan, mengasingkan diri, kemurungan serta kecenderungan untuk membunuh diri.

Kesan psikologi menghimpit mangsa tidak hanya kepada diri mereka sendiri, malah anak-anak turut menerima kesan buruk dari segi emosi dan pemikiran.

Panas baran tidak bertempat ini umpama api dalam sekam yang meruntuhkan sebuah institusi keluarga dan masyarakat dalam jangka masa panjang.

Justeru, wanita selamatkanlah diri sebelum ia membawa mudarat dengan pelbagai saluran yang betul.

Pemandiri yang dipukul atau dihina boleh mendapatkan bantuan seperti pusat khidmat krisis bersepadu iaitu One Stop Crisis Centre (OSCC) di semua hospital KKM di setiap daerah dan negeri.

Seperkara lagi ialah perihal orang ketiga yang tiba-tiba muncul dalam rumah tangga.

Jika menyedari kehadirannya dari awal, tanganilah sebaiknya dengan hak anda sebagai wanita. Wanita mangsa kecurangan suami boleh mendakwa perosak rumah tangga atau pihak ketiga dan mengenakan tindakan undang-undang.

Peguam Syarie, Nurfarhana Abd Manaf dalam segmen Borak Bibir Merah SinarPlus berkata, selain sesi kaunseling dan rundingan, isteri juga boleh mengambil tindakan keras begini untuk menyelamatkan rumah tangga.

Cara tersebut dicadangkan sekiranya seorang wanita masih ingin meneruskan perkahwinan dan masih menyayangi ikatan yang terbina demi anak-anak.

Isteri berhak untuk menyaman pihak ketiga atau suami sendiri bagi penceraian mahupun tuntutan nafkah.

Selain itu, beliau menegaskan, tindakan pendakwaan termasuk saman orang ketiga atau suami bukan untuk mengaibkan, sebaliknya sebagai pengajaran agar mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Pun begitu, sebelum bertindak mangsa dinasihatkan tidak cepat percaya kepada pihak yang menyampaikan cerita.

Seeloknya siasat terlebih dahulu dan apabila bukti dan maklumat sudah mencukupi, baru tindakan seterusnya diambil.

Pesan penulis, wanita perlu bertindak menggunakan hak yang ada untuk mempertahankan diri.

Poligami tidak salah tetapi jangan terlalu naif dan berserah.

Berhenti bertolak ansur dengan orang yang tidak menghormati anda.

Anda berhak bahagia!

* Azma Mohd Lazim ialah wartawan digital SinarPlus

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!