86 lokasi tanah mendap dikesan di Lembah Kinta

Mohammad Nizar menjawab soalan lisan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) dalam Persidangan DUN Perak pada Rabu.
Mohammad Nizar menjawab soalan lisan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) dalam Persidangan DUN Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Jabatan Mineral dan Geosain (JMG) Perak telah mengenal pasti 86 lokasi bencana tanah mendap berlaku di seluruh Lembah Kinta setakat ini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, lokasi bencana itu direkodkan sejak 1971 dengan kesan mendapan antara 10 hingga 200 meter.

"Mengikut data kejadian lubang benam dan tanah mendap oleh JMG, kawasan Manjoi, Lahat dan Kampar merupakan kawasan yang sering menghadapi isu tanah mendap ini.

"Berdasarkan kajian didapati kesemua kawasan itu didasari batu kapur Kinta dan merupakan kawasan bekas lombong yang telah ditebus guna untuk pembangunan," katanya menjawab soalan lisan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.

Beliau berkata, kerajaan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) telah melaksanakan Sistem OSC (One Stop Centre) di mana setiap permohonan pembangunan akan diulas oleh agensi berkaitan sebelum sesuatu permohonan pembangunan terutamanya Skim Perumahan diluluskan.

Katanya, dalam konteks JMG pula, setiap permohonan itu perlu disertakan dengan laporan siasatan tanah berkaitan kesesuaian tapak untuk dimajukan.

"JMG akan memberikan khidmat nasihat teknikal berdasarkan laporan yang disediakan oleh pihak pemaju berkaitan.

"Sebagai contoh, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Majlis Daerah Kampar telah mensyaratkan kajian subsurface analysis ataupun kajian geofizik dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sesuatu skim perumahan itu dimajukan.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan dapatan daripada kajian tersebut, langkah-langkah mitigasi yang bersesuaian dapat ditentukan bagi mengurangkan risiko pemendapan dan lubang benam yang mungkin berlaku selepas pembinaan," katanya.

Mohammad Nizar turut menjelaskan, isu tanah mendap yang berlaku di rizab jalan yang melibatkan mendapan atau sink hole, kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan dengan kadar segera melalui pihak konsesi Puncak Emas.

Tambahnya, mendapan atau kerosakan yang berlaku dalam bangunan kediaman di kawasan perumahan pula adalah di bawah tanggungjawab pemilik untuk membuat kerja-kerja pembaikan.

"MBI akan mengeluarkan Notis Seksyen 83 di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) bagi memastikan pihak pemilik mengambil tindakan sewajarnya," katanya.