Pelaksanaan parkir berbayar beri tekanan kepada peniaga, pekerja

Sebuah pondok parkir berbayar di Dataran Rimba Square yang dirosakkan pada Isnin.
Sebuah pondok parkir berbayar di Dataran Rimba Square yang dirosakkan pada Isnin.
A
A
A

KUALA NERUS - Kebanyakan pekerja dan peniaga di Dataran Rimba Square, Gong Badak dekat sini tidak bersetuju dengan pelaksanaan parkir berbayar kerana bukan sahaja membebankan malah menyebabkan pelanggan semakin berkurangan.

Pekerja kedai permainan, Mohd Shafie Md Razali, 26, berkata, pelaksanaan parkir berbayar sedikit sebanyak memberi tekanan kerana sebelum ini mereka tidak berdepan dengan masalah itu ketika datang bekerja.

"Kami tak setuju dengan pelaksanaan parkir berbayar sebab gaji pun tak banyak mana dan kena fikir pula untuk bayar sewa petak parkir.

"Sebelum ini kami boleh datang kerja dengan tenang kini terpaksa pula fikirkan untuk keluarkan duit bayar kos sewa bulanan parkir yang mana duit itu sebenarnya boleh buat beli susu dan lampin anak," katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.

Sehubungan itu, Mohd Shafie berkata, dia berharap agar pelaksanaan parkir berbayar dapat dikaji semula oleh pihak berkuasa.

"Kita harap kerajaan dapat pertimbang untuk hapuskan parkir berbayar ni sebab kita pekerja di sini perlu fikirkan kos harian lagi, kalau RM10 sehari dah RM300 kita perlu sediakan untuk bayaran 'parking' sahaja pada setiap bulan.

"Sebelum ada parkir ni kita seronok nak datang bekerja, sekarang ni sejak ada nak dilaksanakan ni kita rasa tertekan," ujarnya.

Sementara itu, pemilik kedai pakaian terpakai, Muhd Shahamiza Ali, 42 berkata, dia mengalami masalah sama kerana menyewa empat lot kedai dan mempunyai 15 pekerja di situ.

Artikel Berkaitan:

"Selepas adanya parkir ini kita mengalami kesulitan memandangkan ramai pekerja kita guna kereta dan juga pelanggan-pelanggan yang nak datang ke kawasan ini.

"Selepas penutupan sebuah pasar raya di sini, kawasan ini menjadi sedikit suram. Bila mereka buat 'parking' masalah semakin bertambah kerana orang akan kurang masuk ke kawasan ini.

"Dengan kadar yang mereka caj RM1 satu jam saya rasa amat tinggi sebab kebiasaannya untuk orang yang buat parking ni 15 minit pertama tu percuma, tak ada caj, ni bila masuk je terus kena caj," katanya.

Menurut Muhd Shahamiza, dia tidak menolak sepenuhnya pelaksanaan parkir berbayar, namun berharap kos dikenakan dikaji semula.

"Saya harap pihak berwajib dapat pertimbangkan semula kewajaran kawasan ini dikenakan parkir atau tidak. Sebenarnya saya tiada masalah dan tidak menghalang untuk kerajaan kenakan caj parkir tetapi perlu mengikut kadar caj yang betul.

"Kita faham caj dikenakan untuk ekonomi negeri, ekonomi kita namun kadar yang dikenakan sekarang ni sangat mahal dan membebankan terutama kepada peniaga-peniaga di kawasan ini.

"Apa yang saya kecewa ialah kita lihat kawasan ini sebenarnya belum membangun sepenuhnya, tidak seperti di Dataran Austin. Caj petak parkir sebanyak 60 sen sejam di sana terus dibayar kepada MBKT (Majlis Badaraya Kuala Terengganu) melalui parkir bermeter, mengapa perlu kenakan caj yang tinggi di sini, " ujarnya.

Sebelum ini, tiga pondok bayaran parkir kenderaan di sekitar Dataran Rimba Square, Gong Badak di sini dirosakkan dengan dibakar dan dipecahkan dalam tiga kejadian berasingan bermula Oktober lalu dan bulan ini.

Terbaharu, pondok yang diselia syarikat swasta itu disedari rosak pada awal pagi Selasa sekitar jam 5 pagi menjadikan jumlah kerugian ditanggung dianggarkan lebih RM10,000.