Tujuh notis amaran dikeluarkan kepada peniaga buah di Temerloh

Sebanyak tujuh notis amaran dikeluarkan terhadap peniaga buah sekitar Temerloh. - Foto KPDN Temerloh
Sebanyak tujuh notis amaran dikeluarkan terhadap peniaga buah sekitar Temerloh. - Foto KPDN Temerloh
A
A
A

TEMERLOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Temerloh mengeluarkan tujuh notis amaran kepada peniaga buah sekitar daerah ini menerusi pemeriksaan yang dijalankan setiap hari bermula awal minggu ini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN cawangan itu, Abdul Razak Yahaya berkata, pemeriksaan tersebut susulan aduan orang awam yang mendakwa terdapat buah-buahan dijual dengan harga tinggi kebelakangan ini.

Menurutnya, pihak penguat kuasa KPDN Temerloh menjalankan pemeriksaan hampir di kesemua premis yang menjual buah-buahan di daerah ini.

"Pemeriksaan itu memberi fokus terhadap kenaikan harga buah-buahan dan penandaan harga buah yang dijual.

"KPDN Temerloh mengeluarkan tujuh notis amaran kepada peniaga buah supaya mengemaskini penandaan harga agar jelas dan mudah dilihat oleh pelanggan sewaktu berurus niaga," kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.

Anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan terhadap gerai buah-buahan sekitar daerah Temerloh. - Foto KPDN Temerloh
Anggota penguat kuasa menjalankan pemeriksaan terhadap gerai buah-buahan sekitar daerah Temerloh. - Foto KPDN Temerloh

Ujar beliau lagi, notis itu diberikan supaya peniaga sentiasa memastikan alat timbang dan sukat digunakan untuk tujuan perdagangan dalam tempoh tentusahan.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan dan memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga agar sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan oleh pihak kerajaan.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang menaikkan harga barang jualan dengan cara tidak munasabah.

"Mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan tersebut bakal berdepan dengan tindakan dan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan bagi syarikat pula denda sehingga RM100,000 di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011," tambah Abdul Razak.