PRK: Keputusan BN beri laluan kepada Amanah disifatkan bijak

Aminolhuda. Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Aminolhuda. Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Keputusan Barisan Nasional (BN) memberi laluan kepada Parti Amanah Negara (Amanah) bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram disifatkan sebagai tindakan bijak.

Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, keputusan yang dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu akan menyerlahkan lagi semangat kerjasama parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

"Pertama sekali kerusi DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai dimenangi oleh Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

"Maka kenyataan Ahmad Zahid adalah kenyataan yang sangat bijak dan pendekatan yang menghormati rakan dalam gabungan Kerajaan Perpaduan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Ahli Parlimen Sri Gading itu juga yakin kerjasama akan dibentuk akar umbi dalam Kerajaan Perpaduan pada kempen PRK dikedua-dua kawasan berkenaan.

"Saya yakin dan percaya akar umbi UMNO dan BN akan menyahut seruan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO untuk memberikan kerjasama sepenuhnya pada PRK DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai.

"Saya optimis jentera dari kedua-dua gabungan besar ini akan diterjemahkan dalam menghadapi PRK tanpa ragu-ragu demi kestabilan dan kemakmuran negara," ujarnya.

Ditanya mengenai calon, Aminolhuda menjelaskan Amanah kawasan Bakri dan Pulai akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi menyenaraikan calon.

"Senarai calon yang dikemukakan oleh Amanah kawasan Bakri bagi DUN Simpang Jeram dan Amanah Pulai bagi Parliman Pulai, akan disemak terlebih dahulu oleh jawatankuasa pemilihan peringkat negeri.

"Selepas itu senarai nama tersebut akan diserahkan kepada Amanah Pusat untuk dinilai dan akan dipilih sebagai calon pada PRK DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai," katanya.

Pada Khamis, BN mengumumkan akan memberi laluan kepada Amanah untuk bertanding pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, Johor pada 9 September depan.

Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dibuat atas semangat perkongsian politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan pula ialah masing-masing pada 26 Ogos dan 5 September.

PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Salahuddin, 61, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor itu menjadi Ahli Parlimen Pulai selama dua penggal pada 2018 dan 2022 selain memenangi kerusi DUN Simpang Jeram ketika PRU14 dan PRU15 lalu.

Pada PRU15 lalu, Salahuddin menang majoriti 20,989 undi di Parlimen Pulai.

Salahuddin juga berjaya mempertahankan DUN Simpang Jeram buat penggal kedua pada PRN Johor apabila memperolehi 8,749 undi mengalahkan calon PN, Zarul Salleh yang mendapat 6,350 undi dan calon BN Lokman Md Don memperolehi 6,062.

ARTIKEL BERKAITAN:

BN beri laluan Amanah tanding PRK Simpang Jeram, Pulai - Zahid

Mesyuarat khas namakan calon PRK Pulau, Simpang Jeram minggu depan

Muda belum buat keputusan sertai PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram