300,000 penduduk derita bau sampah haram

Halimah (depan) bersama penduduk yang mengadakan bantahan berhampiran tapak pelupusan sampah haram Batu 12 Kapar di sini pada Ahad.
Halimah (depan) bersama penduduk yang mengadakan bantahan berhampiran tapak pelupusan sampah haram Batu 12 Kapar di sini pada Ahad.
A
A
A

KLANG - Kira-kira 300,000 penduduk di tujuh kampung menderita bau busuk dan asap kesan daripada pelupusan sampah secara haram di Batu 14, Kapar di sini sejak tiga tahun lalu.

Pengerusi Badan Bertindak Kapar, Rahim Iska berkata, tujuh kampung terjejas itu ialah di Kampung Sungai Serdang, Jalan Suara, Tambak Jawa, Kampung Batu 12, Kampung Tok Muda, Kampung Bukit Kerayong dan Kampung Bukit Kapar.

Rahim (kanan) menunjukkan tapak pelupusan sampah berkenaan.
Rahim (kanan) menunjukkan tapak pelupusan sampah berkenaan.

Menurut beliau, masalah itu timbul selepas ada pihak tidak bertanggungjawab melupuskan sampah secara haram di kawasan berhampiran seluas kira-kira lebih 1.2 hektar.

"Kegiatan membuang pelbagai sisa domestik, termasuklah sisa bahan binaan dan makanan di kawasan ini menyebabkan bau busuk kepada penduduk yang tinggal berhampiran.

"Aktiviti haram ini makin tidak terkawal semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lalu apabila pembuangannya dilakukan secara berleluasa," katanya ketika ditemui selepas mengadakan bantahan secara aman bersama kira-kira 100 penduduk di tapak pelupusan sampah haram Batu 12 Kapar di sini pada Ahad.

Rahim memberitahu, pencemaran bau sisa toksik itu juga menyebabkan ada penduduk mengadu mengalami sesak nafas, muntah dan sakit kepala dipercayai terhidu bahan kimia.

"Kami terima aduan terdapat warga emas, kanak-kanak mengadu sukar bernafas hingga terpaksa mendapatkan rawatan di hospital dan klinik swasta," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Rahim menjelaskan, penduduk mencadangkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat pembuangan sampah haram berkenaan.

Keadaan tapak pelupusan sampah di Batu 14, Kapar di sini.
Keadaan tapak pelupusan sampah di Batu 14, Kapar di sini.

Jelasnya, pemasangan CCTV di kawasan itu mampu mengelakkan kejadian itu terus berleluasa selain mengelakkan lebih ramai mengalami masalah kesihatan.

Seorang penduduk, Mohamad Mishan Md Nor, 61, berkata, bau bahan sisa industri itu terlalu kuat menyebabkannya sukar bernafas.

Menurut Mohamad Mishan, bau asap amat busuk dan tengik berlarutan hampir setiap hari terutama pada waktu malam hingga awal pagi.

"Bau toksik sangat kuat dan saya sendiri alami gejala sesak nafas hingga terpaksa mendapatkan rawatan hospital sebanyak tujuh kali.

"Saya mula alami masalah pernafasan sejak Jun 2021 dan kerap berulang-alik ke hospital akibat pencemaran bau ini," ujarnya yang menetap di kampung Sungai Serdang.

Seorang lagi penduduk, Sharuddin Mohammad, 57, dari Kampung Tok Muda Kapar, berkata, MPK digesa memandang serius isu dibangkitkan penduduk.

Ujarnya, masalah itu sudah diutarakan banyak kali, namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian.

"Kami menuntut MPK selesai segera isu ini kerana tidak sanggup berdepan masalah bau busuk," kata Sharuddin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali yang turut meninjau tapak lokasi sampah haram berkata, beliau mendengar sendiri keluhan dan rungutan penduduk kampung terlibat.

Justeru, katanya, beliau berharap satu jawatankuasa khas ditubuh bagi menangani isu berkenaan.

"Saya sendiri telah berkali-kali membawa suara penduduk di dalam sidang Parlimen bagi memastikan masalah penduduk ini diberi perhatian serius," tambahnya.