Tapak pelupusan sampah terbakar akibatkan jerebu

Keadaan Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang yang dilanda jerebu. Gambar kecil: Mohd Rafee, Noorazan dan Yusof.
Keadaan Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang yang dilanda jerebu. Gambar kecil: Mohd Rafee, Noorazan dan Yusof.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Tanjung Langsat (TPSTL) di sini sejak Jumaat mengakibatkan Kampung Tanjung Langsat, Kampung Perigi Acheh dan kawasan Industri di sekitarnya diselubungi asap tebal dan jerebu.

Menurut penduduk setempat, keadaan itu menyebabkan jarak penglihatan terhad sehingga lima meter sekali gus mengakibatkan pencemaran udara dan bau.

Penduduk Kampung Tanjung Langsat, Mohd Rafee Abdullah, 50, mendakwa, mereka terpaksa menghidu bau busuk sejak beberapa hari lalu selepas asap tebal dibawa angin ke tempat mereka.

Menurutnya, kampung berkenaan yang mempunyai 200 buah rumah dengan jaraknya kira-kira 1 kilometer dari TPSTL paling teruk terjejas terutama pada waktu malam dan pagi.

"Akibat keadaan ini anak saya mengalami sakit tekak dan demam sehingga tidak dapat pergi ke sekolah. Semalam keadaan paling teruk sehingga nak bawa kenderaan pun susah kerana tidak nampak jalan.

"Jarak penglihatan ketika memandu juga terhad dan berbahaya khususnya jika ada lori-lori atau kenderaan yang dipandu laju.

"Kita sudah maklumkan kepada pihak Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya tindakan segera dapat diambil," katanya ketika ditemui di kampung berkenaan pada Rabu.

Dia yang berniaga kedai makan di kampung itu berkata, masalah di TPSTL yang kerap berlaku kebakaran dengan keadaan sampah yang tinggi menggunung perlu ditangani dengan memindahkannya ke tempat lain jauh dari penempatan dan kawasan industri.

Artikel Berkaitan:

"TPSTL boleh juga gunakan teknologi lebih baik untuk melupuskan sampah. Kami maklum kebakaran ini telah diambil tindakan untuk dipadamkan pada Jumaat, namun tidak pasti sama ada sudah dipadamkan keseluruhannya kerana tiada dimaklumkan oleh pihak berwajib.

"Disebabkan jerebu dan asap tebal serta bau busuk plastik terbakar menyebabkan radang mata. Kami mahu pihak berwajib mengambil tindakan segera dengan melakukan pemantauan dan pemeriksaan kesihatan penduduk terutama mereka yang mempunyai masalah pernafasan," katanya.

Mohd Rafee menunjukkan kebakaran di tapak pelupusan sampah berdekatan Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang pada Rabu yang mengakibatkan jerebu.
Mohd Rafee menunjukkan kebakaran di tapak pelupusan sampah berdekatan Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang pada Rabu yang mengakibatkan jerebu.

Mohd Rafee meminta perkembangan siasatan dimaklumkan kepada media untuk disebar luas kepada penduduk berkenaan kualiti dan kualiti bacaan udara termasuk cerapan kandungan bahan kimia yang terkandung.

Seorang lagi penduduk kampung tersebut, Yusof Osman, 53, mendakwa, kebakaran di TPSTL sudah banyak kali berlaku dan sebelum ini pernah berlarutan antara satu hingga dua minggu.

"Contohnya jam 9 pagi semalam asap yang bercampur dengan bau bertiup ke kampung ini menyebabkan semuanya gelap, kami semua jadi takut. Asap bercampur dengan bau. Keadaan ini kalau untuk anak-anak kecil memang berbahaya.

"Kalau ada hujan lebih daripada tiga atau empat hari mungkin Insya-ALLAH akan terpadam. Apa yang kita nampak longgokan sampah terbakar di bahagian atas tapi di bawahnya kita tak tahu. Kita minta selesaikan segera, ini harapan penduduk," katanya yang bekerja kilang.

Bagi pesara, Noorazan Md Shahir, 62, yang juga penduduk kampung tersebut berpendapat, cuaca panas melampau mengakibatkan sampah terutama plastik di tapak pelupusan berkenaan mudah terbakar.

Keadaan tersebut katanya, akan mengakibatkan asap tebal putih atau hitam sebelum dibawa angin ke kampung tersebut pada waktu tertentu.

Pada Jumaat, MBPG mengeluarkan notis penutupan sementara pengoperasian TPSTL susulan kebakaran, yang membabitkan keluasan keseluruhan kebakaran dianggarkan 3.24 hektar dengan kebakaran bahagian atas sel tapak pelupusan telah dapat dikawal.

Notis penutupan selama dua minggu bermula Jumaat itu, dikeluarkan kepada pihak SWCorp dan pengurusan Seelong Sanitary Landfill.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!