PPZ-MAIWP lancar kempen Ramadan 2026 'Ikhlas Memberi, Tulus Membantu'

Abdul Hakim (empat dari kiri) bergambar bersama rakan-rakan kolaborasi selepas melancarkan Kempen Ramadan 'Ikhlas Memberi Tulus Membantu' pada Khamis. FOTO: Rosli Talib
Abdul Hakim (empat dari kiri) bergambar bersama rakan-rakan kolaborasi selepas melancarkan Kempen Ramadan 'Ikhlas Memberi Tulus Membantu' pada Khamis. FOTO: Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan Kempen Ramadan dengan tema 'Ikhlas Memberi, Tulus Membantu' untuk 2026.

Kempen itu bertujuan menanam nilai berkongsi dengan penuh ikhlas agar setiap sumbangan dapat memberikan manfaat berpanjangan khususnya buat golongan asnaf.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, ia antara usaha berterusan pihaknya dalam menggalakkan masyarakat Islam menyempurnakan kewajipan berzakat di samping mempromosikan perkhidmatan, saluran bayaran serta variasi program menarik sepanjang Ramadan ini bersama rakan strategik.

Menurut beliau, inisiatif yang berlangsung dari 19 Februari hingga 20 Mac itu menampilkan aktiviti khas seperti 'podcast' atau 'live' bersama pempengaruh dan panel program 'Sis on the Move' menerusi sesi usrah.

"Selain itu, iftar khas bersama selebriti dan pengasas jenama tempatan, 'Ramadan Tour' yang merupakan siri jelajah PPZ-MAIWP ke lokasi tarikan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta 'Ramadan Corporate Tour' di syarikat-syarikat bagi memberikan pencerahan tentang zakat.

"Dalam masa sama, hasil kolaborasi bersama Ikhlas.Com iaitu program Turun Padang bakal diadakan bagi menyantuni asnaf terpilih di sekitar Wilayah Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran kempen Ramadan PPZ-MAIWP 'Ikhlas Memberi, Tulus Membantu' di Restoran Chef Kecik Boulangerie @ Tuah 1895 Bukit Bintang di sini pada Khamis.

Abdul Hakim (kanan) ketika gimik pelancaran kempen bersama Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin. FOTO: Rosli Talib
Abdul Hakim (kanan) ketika gimik pelancaran kempen bersama Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin. FOTO: Rosli Talib

Artikel Berkaitan:

Kempen sepanjang Ramadan itu membabitkan Ikhlas.Com & Friends yang terdiri daripada Nunha, Airali, Petit Moi, BMO, Zora Designer dan Maison Toha selaku rakan strategik utama.

Ia turut disokong rakan kolaborasi lain seperti Iman Pro, Beauboss, Khatam dan Chef Kecik yang mana setiap daripadanya bakal menawarkan hadiah serta tawaran menarik khusus buat pembayar zakat PPZ-MAIWP.

Majlis pelancaran turut diselitkan dengan gimik perasmian dan sesi perkongsian Ramadan oleh Imam Muda Asyraf.

Menerusi kolaborasi kali ini, Abdul Hakim menambah, pembayar zakat harta PPZ-MAIWP berpeluang menikmati pelbagai ganjaran dan baucar diskaun eksklusif bernilai RM50,000 sebagai tanda penghargaan.

Justeru, beliau percaya jalinan kerjasama dengan jenama hebat sebegitu mampu memberikan nilai tambah signifikan serta manfaat yang meluas bukan sahaja kepada pembayar zakat, malah masyarakat secara keseluruhannya.

"Kolaborasi ini mencerminkan ekosistem yang erat antara institusi zakat, sektor korporat, jenama tempatan dan platform digital demi satu matlamat iaitu memudahkan masyarakat beramal serta memperluas manfaat buat golongan asnaf.

"Ia bukan mempromosikan kempen semata-mata, tetapi menghubungkan pembayar zakat dengan realiti kehidupan asnaf agar wujud empati, kefahaman dan tanggungjawab bersama membantu golongan memerlukan.

"Kami harap pembayar zakat sedia ada terus memilih PPZ-MAIWP sebagai saluran menunaikan zakat dan terima kasih juga buat rakan strategik yang terlibat dalam kempen ini," ujarnya lagi.

Ringkasan AI

  • PPZ-MAIWP melancarkan Kempen Ramadan dengan tema 'Ikhlas Memberi, Tulus Membantu' untuk 2026
  • Kempen ini bertujuan menggalakkan masyarakat Islam memberi sumbangan dengan ikhlas kepada golongan asnaf
  • Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman mengatakan kempen ini juga promosi perkhidmatan dan saluran bayaran zakat
  • Inisiatif kempen termasuk aktiviti khas seperti podcast, iftar bersama selebriti, serta jelajah Ramadan ke lokasi tarikan
  • Kolaborasi dengan pelbagai jenama dan platform digital untuk memberikan ganjaran dan diskaun kepada pembayar zakat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!