Sengsara hidu bau busuk sampah, asap setiap hari

Harrison (depan lima dari kiri) bersama penduduk meninjau kawasan pelupusan sampah yang mengganggu penduduk di Puncak Alam.
Harrison (depan lima dari kiri) bersama penduduk meninjau kawasan pelupusan sampah yang mengganggu penduduk di Puncak Alam.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 13,000 penduduk di sekitar Puncak Alam, di sini berdepan masalah pencemaran bau busuk dan asap setiap hari berikutan kewujudan timbunan sampah berhampiran Jalan Kepong-Kuala Selangor hampir setahun lalu.

Seorang penduduk, Azarul Syazari Che Aziz, 34, berkata, masalah itu berpunca apabila pihak tidak bertanggungjawab melupuskan sampah di kawasan seluas kira-kira lebih 1.2 hektar.

Menurutnya, kebanyakan sampah domestik termasuklah sisa bahan binaan dan makanan dibuang di kawasan itu yang menyebabkan bau busuk kepada penduduk berhampiran.

"Timbunan sampah ini mengeluarkan bau meloyakan hingga menyebabkan kami yang tinggal berhampiran kawasan ini berasa tidak selesa," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Azarul Syazari berkata, meskipun tidak mengetahui status tapak pelupusan sampah itu sama ada mendapat kebenaran atau pun tidak, namun ia mencemarkan pemandangan lebih-lebih lagi lokasinya berhampiran dengan jalan utama.

"Kita mahu ada jalan penyelesaian menangani masalah ini dan tidak boleh dibiarkan terus berleluasa," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Alif Nazrin Mohd Paudzi, 34, berkata, keadaan bertambah teruk apabila penduduk tidak selera menjamah makanan akibat gangguan lalat.

Alif Nazrin
Alif Nazrin

Artikel Berkaitan:

"Kadang-kadang jika hendak buat kenduri atau jamuan, kita berdepan masalah lalat lebih-lebih lagi jika saudara-mara atau rakan berkunjung ke kediaman kami berasa tidak selesa dengan keadaan ini," jelasnya.

Dia memberitahu, timbunan sampah itu semakin merebak ke lereng tepi anak sungai berhampiran yang berisiko tercemar.

"Kebiasaannya, aktiviti pembakaran dilakukan pada waktu petang dan kami terganggu dengan bau asap dari tempat pelupusan sampah tersebut

"Selain itu, kita bimbang jika berlaku banjir sampah sarap itu hanyut ke kawasan penempatan dan menyebabkan pelbagai penyakit bawaan air," jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa diminta melakukan pemantauan berterusan bagi menghalang pembuangan dan pembakaran sampah di tapak itu.

"Kami juga berharap tapak pelupusan sampah itu ditutup demi keselesaan dan kesihatan penduduk sekitar,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan berkata, status tapak pembuangan sampah itu akan dirujuk terlebih dahulu daripada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) dalam waktu terdekat.

Menurut beliau, timbul tanda tanya berhubung kewujudan tapak pelupusan itu di kawasan berhampiran rumah penduduk.

"Timbunan sampah di kawasan ini bukan isu baharu kerana ia bukan sahaja di sini tetapi juga berlaku masalah sama di persimpangan Desa Coalfields.

"Pastinya selepas mendapat maklum balas daripada pihak terbabit, saya juga akan bawa perkara ini kepada Exco Selangor berkaitan untuk kita sama-sama usahakan jalan penyelesaian sama ada tapak sampah itu berlesen atau pun tidak," jelas beliau.

Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas daripada MPKS berhubung status tapak pelupusan sampah berkenaan.