Kerajaan Selangor saran tiga tindakan terhadap rumah ibadat tanpa kelulusan

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyarankan tiga langkah segera berkaitan isu rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan bagi memastikan keharmonian masyarakat terpelihara.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebagai langkah pertama, pemilik tanah perlu membuat laporan polis bagi membolehkan pihak PDRM menyiasat dan sekiranya terbukti berlaku pencerobohan proses pendakwaan boleh dimulakan.
Menurut beliau, langkah kedua pula, notis rasmi perlu dihantar kepada pihak penceroboh dan Pejabat Daerah dengan Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) diaktifkan untuk meneliti perkara itu.
"Langkah ketiga, JKD bertindak sebagai pengantara dengan memanggil semua pihak berkaitan termasuk pemilik tanah, pemilik rumah ibadat, PDRM dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mencapai penyelesaian yang munasabah.
"Sekiranya rundingan gagal, pemilik tanah disarankan meneruskan proses mahkamah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Amirudin menegaskan sebarang isu berhubung rumah ibadat yang tidak sah perlu ditangani secara teratur bagi mengelakkan ketegangan kaum dan agama.
Ujar beliau, perkara itu susulan insiden yang berlaku di Rawang pada Rabu yang mencetuskan kegusaran dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, secara keseluruhan terdapat dua isu utama melibatkan rumah ibadat tidak sah iaitu yang didirikan di atas tanah milik kerajaan negeri dan tanah persendirian.
"Bagi rumah ibadat di tanah kerajaan, prosedur semasa dipertingkatkan melalui pihak berkuasa tempatan serta pengukuhan SOP (prosedur operasi standard) Jawatankuasa Rumah Ibadat Lima Agama Selangor (LIMAS).
"Manakala rumah ibadat di tanah persendirian memerlukan pemilik tanah memohon perintah mahkamah sebelum sebarang tindakan pengosongan atau perobohan dilakukan," katanya.
Beliau menekankan, semua pihak tidak boleh bertindak sendiri tanpa melalui proses mahkamah berlandaskan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkaitan tanah.
"Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor memutuskan pemilik tanah perlu membuat laporan polis, menghantar notis rasmi kepada penceroboh, dan memaklumkan Pejabat Daerah.
"JKD akan bertindak sebagai pengantara untuk mencapai penyelesaian munasabah, jika gagal proses mahkamah boleh diteruskan," tambah beliau.
Amirudin berkata, pendekatan itu diambil bagi memastikan keseluruhan proses melibatkan pihak berkuasa dan mengelakkan sebarang insiden yang mampu menjejaskan keharmonian negeri.
Terdahulu, beliau mempengerusikan MKN Negeri Selangor.
Hadir sama, Ketua Polis Selangor, Panglima Markas 11 Briged, Yang Dipertua Majlis dan Pegawai Daerah bagi meneliti tahap keselamatan awam negeri.
Sinar Harian pada Selasa melaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menekankan setiap pembangunan yang dijalankan di negeri ini perlu mematuhi undang-undang sedia ada serta amalan tadbir urus yang baik.
Menurut kenyataan Pejabat Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, baginda menegaskan perkara itu turut terpakai bagi setiap pembinaan rumah ibadat khususnya kuil Hindu supaya dilaksanakan secara teratur dari segi perundangan serta selaras dengan perancangan bandar yang mampan dan terancang.
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor menyarankan tiga langkah menangani isu rumah ibadat tanpa kelulusan untuk keharmonian masyarakat
- Pemilik tanah dikehendaki membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan PDRM dan pendakwaan terhadap pencerobohan
- Notis rasmi perlu dihantar kepada penceroboh dan Pejabat Daerah sambil mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Daerah untuk meneliti
- JKD bertindak sebagai pengantara untuk mencari penyelesaian munasabah antara semua pihak relevan jika rundingan gagal, disarankan ke mahkamah
- Semua proses harus mengikut undang-undang Kanun Tanah Negara dan melibatkan pihak berkuasa untuk mengelakkan insiden yang menjejaskan keharmonian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

