Tiga premis terbakar disyaki beroperasi secara haram

Sharifah Zakiah (tiga dari kanan) mendengar taklimat di lokasi kejadian di Bukit Selambau, pada Isnin.
Sharifah Zakiah (tiga dari kanan) mendengar taklimat di lokasi kejadian di Bukit Selambau, pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga premis termasuk dua daripadanya yang musnah dalam kebakaran di sebuah kilang di Bukit Selambau, Sungai Petani, dekat sini, pada malam Ahad disyaki beroperasi tanpa lesen.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pihaknya telah memulakan siasatan dan membuat rakaman percakapan dengan pemilik tanah yang menyatakan lot terlibat di Kawasan Perindustrian Bukit Selambau telah disewakan kepada tiga premis berbeza.

Menurut beliau, kebakaran hanya melibatkan dua premis, yang mana kedua-dua premis ini disyaki menjalankan aktiviti pengasingan sekerap logam dan disyaki dihantar ke premis ketiga untuk aktiviti peleburan.

"Aktiviti dijalankan ketiga-tiga premis adalah tertakluk kepada Aktiviti 14(b)(ii), Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan)(Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Bagaimanapun, semakan rekod mendapati Kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) hanya pernah diluluskan JAS pada 11 Jun 2020 bagi premis ketiga yang menjalankan proses pulih guna buangan-buangan terjadual bagi kod SW110," katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Pegawai JAS Kedah sedang melaksanakan pemantauan kualiti udara di lokasi kejadian.
Pegawai JAS Kedah sedang melaksanakan pemantauan kualiti udara di lokasi kejadian.

Beliau menambah, pihaknya mendapati premis ini juga tidak ada membuat sebarang permohonan lesen untuk beroperasi selepas mendapat kelulusan EIA.

"Dua daripada tiga premis lagi juga tidak pernah merujuk atau mendapat apa-apa kelulusan dari JAS dan disyaki beroperasi secara haram," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, pelaksanaan sebarang aktiviti tanpa kelulusan Laporan EIA merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 34A(6), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

"Jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 34A(8) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi daripada lima tahun atau kedua-duanya,"katanya.

Sharifah Zakiah berkata, peletakan atau penstoran bahan yang dikategorikan sebagai buangan terjadual pula adalah kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang memperuntukkan hukuman denda maksima RM500,000 dan mandatori penjara maksima lima tahun.

Selain itu, kata beliau, ketiga-tiga premis ini juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18(3) akta sama.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan, JAS telah melaksanakan pemantauan kualiti udara selama 24 jam bermula Isnin menggunakan peralatan 'Grimm' dan 'Cerex' bagi memantau kualiti udara di lokasi kejadian, sekali gus mengesan jika terdapat gas pencemar yang berbahaya.

"Buat masa ini, pegawai JAS masih belum dibenarkan masuk ke lokasi kebakaran untuk mengambil sampel kerana kebakaran masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya dan keadaan belum selamat sepenuhnya.

"Malah, kerja-kerja pemadaman serta pencegahan merebakkan seperti membuat firebreak dan masih dijalankan," katanya.

Beliau berkata lagi, siasatan di kawasan terbakar akan diteruskan menggunakan dron dan persampelan akan dijalankan selepas kebenaran pihak bomba diperoleh bagi memasuki ruang yang telah terbakar.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menerusi JAS komited untuk menangani isu pencemaran alam sekitar dan mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan aktiviti pencemaran alam sekitar.

Laporan boleh dilakukan melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari ataupun e-mel ke aduan_k@doe.gov.my melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.